PUTRAJAYA – Isu penguasaan warga asing dalam rantaian perbekalan sayur-sayuran di negara ini perlu ditangani menyeluruh dan lebih komprehensif.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam isu berkenaan, orang ramai tidak sepatutnya menuding jari kepada satu pihak sahaja.
Menurutnya, isu tersebut bukan perkara baharu kerana ia membabitkan ramai pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya dahulu pernah berada di KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Pernah ada libat urus yang lama dengan Kementerian Pertanian kerana ini bukan perkara baharu, bukan perkara semalam atau baru setahun apabila kerajaan Madani ambil alih.
“Saya kata bahawa perkara dalam keterjaminan bekalan rantaian makanan ini, memerlukan satu tindakan komprehensif semua pihak. Maknanya semua yang terbabit dari kerajaan negeri, PBT dan di mana mereka salurkan bekalan ini (seperti) di pasar, (maka) lesen pasar ini di bawah PBT,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai isu rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia didakwa mula dikuasai pendatang asing.
Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan isu terbabit perlu ditangani KDN dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kerana peruntukan undang-undang berkaitan perkara berkenaan membabitkan dua kementerian itu.
Sementara itu, Saifuddin turut mengingatkan rakyat tempatan agar tidak melindungi pendatang asing kerana ia menyalahi undang-undang.
Malah, katanya, tindakan melindungi pekerja asing tidak membantu menyelesaikan isu bekalan sayur dikuasai golongan itu kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak.
“Sebab kalau kita buat tindakan penguatkuasaan, kita pergi pasar borong sebagai contoh, mereka berniaga di pasar.
“Siapa punya meja… rakyat tempatan, rakyat tempatan sewakan kepada dia dan kadang-kadang dia buat rumah secara haram di atas satu tanah dan apabila ditanya, mereka sewa dengan orang tempatan.
“Jadi tak selesai satu bab, sebab itu orang tempatan juga perlu diingatkan bahawa melindungi secara tidak sah (pendatang asing) ini adalah salah dari segi undang-undang,” katanya. – 19 Mac, 2024