MA63: Enam tuntutan asas selesai sepenuhnya

Isu pelaksanaan MA63 adalah antara agenda diberikan penekanan utama kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar untuk diselesaikan segera

6:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyelesaikan enam tuntutan asas berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepenuhnya, termasuk berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sudah menyelesaikan tuntutan pengikrafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Galian (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah arahan Perbendaharaan 182 (AP182).

Katanya, kerajaan turut berjaya menyelesaikan pindaan ke atas Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap agensi itu.

“Selain itu, tuntutan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah; pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan, bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Satu lagi adalah penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan Sabah,” katanya menerusi jawapan bertulis pada sesi pertanyaan Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian bagi mengulas persoalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau yang ingin mengetahui sejauh mana kejayaan Kerajaan Madani dalam melaksanakan MA63, terutama terkait Perlembagaan dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Pada masa sama, Anwar berkata, satu tuntutan asas berhubung MA63 berkenaan kini sudah diselesaikan sebahagiannya dan interim, iaitu membabitkan kajian semula pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D bernilai RM300 juta.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau ingin mengetahui sejauh mana kejayaan Kerajaan Madani dalam melaksanakan MA63, terutama terkait Perlembagaan dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) – Gambar Bernama, 19 Mac, 2024

Ujarnya, tuntutan asas MA63 yang lain masih dalam peringkat perbincangan dan kementerian serta agensi terbabit, sedang melaksanakan rundingan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memperincikan pelaksanaan tuntutan asas berkenaan.

“Tempoh masa bagi penyelesaian setiap perkara dan tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan berkaitan. Isu dibincangkan melibatkan perundangan kompleks dan memerlukan penelitian terperinci daripada pelbagai aspek.

“Tahap kesediaan kerajaan Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia serta kewangan juga adalah aspek yang perlu diambil kira, sebelum suatu perkara dan tuntutan asas MA63 dapat diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tuntutan asas yang belum diselesaikan akan dipantau dan disusuli Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku Sekretariat kepada MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.

“BHESS berperanan memantau pelaksanaan dan menyelaras tindakan berhubung sesuatu isu atau keputusan, sama ada di peringkat kementerian atau agensi Persekutuan, mahupun di peringkat agensi kerajaan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujarnya, isu berkaitan pelaksanaan MA63 adalah antara agenda diberikan penekanan utama kerajaan Persekutuan di bawah pentadbirannya untuk diselesaikan dengan segera.

“Kerajaan Persekutuan terus komited dalam memastikan perkara termaktub dalam MA63, diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.

“Platform perundingan mengenai MA63 sudah ditambah baik kerajaan Persekutuan dengan menubuhkan Malis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 (JKMTPMA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang turut sudah ditubuhkan,” katanya. – 19 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related