Gagal meterai perjanjian tanah, tidak daftar pemilikan saham punca LADA gagal kutip hasil pajakan RM11.49 juta

Dua projek berkenaan adalah pembangunan Hotel St Regis dengan hasil pajakan RM3.19 juta manakala Projek Perkampungan Tok Senik pula sebanyak RM8.30 juta

11:41 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perjanjian yang tidak dimeterai antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan INR Sdn Bhd berhubung hak milik tanah Hotel St Regis Langkawi menyebabkan LADA tidak dapat mengutip hasil pajakan berjumlah RM3.19 juta.

Jumlah tersebut membabitkan kutipan bagi tempoh empat tahun 10 bulan dengan nilai pajakan ditetapkan sebanyak RM660,000 setahun.

Demikian antara rumusan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah LADA di bawah LADA dan Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut laporan itu lagi, perjanjian pajakan untuk menyempurnakan hak milik tanah bagi Hotel St Regis Langkawi antara LADA dan INR Sdn Bhd tidak dapat ditandatangani kerana tanah yang diperoleh berstatus leasehold.

Namun syarat dalam perjanjian pemegang saham menetapkan tanah perlu berstatus freehold (pegangan bebas).

Susulan itu, Kementerian Kewangan (MOF) merancang untuk memulakan proses penjualan Hotel St Regis Langkawi bagi membantu menyelesaikan hutang syarikat INR Sdn Bhd kepada Bank Pembangunan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kesukaran mendapatkan pembeli berpotensi selagi status hotel tanah berkenaan masih belum selesai.

“Ketidakupayaan INR Sdn Bhd untuk melunaskan bayaran ansuran kepada pihak bank selama 24 bulan menyebabkan isu non-performing loan dan ia bertambah kritikal apabila negara dilanda krisis pandemik Covid-19.

“Setakat 30 Jun 2021 tunggakan berjumlah RM27 juta,” katanya.

Sementara itu, PAC mendapati LADA gagal mengutip hasil pajakan untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta kerana Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB) tidak mengambil tindakan untuk mendaftarkan pemilikan saham Kampung Tok Senik Resort Sdn Bhd sebanyak 30 peratus kepada agensi tersebut.

Menurutnya, kecuaian LADA membenarkan MHSB mencagarkan tanah kepada Perwaja Terengganu Sdn Bhd (PTSB) mengakibatkan LADA kehilangan pemilikan tanah tersebut.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC mengesyorkan lima perkara kepada LADA dan MOF untuk dilaksanakan.

Pertama, PAC mengesyorkan LADA dan MOF perlu mengambil tindakan segera bagi memuktamadkan status tanah supaya perjanjian pajakan dapat diselesaikan sekaligus membolehkan LADA mengutip hasil pajakan sebanyak RM3.19 juta.

Syor kedua, katanya, MOF perlu mengemukakan pelan penyelamatan komprehensif Hotel St Regis Langkawi kepada PAC yang merangkumi penstrukturan semula hutang, pengurusan perhotelan dan ‘way forward hotel’ berkenaan selain status Tetuan Deloitte selaku Receiver and Manager (R&M).

Bagi syor ketiga, LADA perlu meningkatkan tahap kompetensi pengurusan projek yang sedang dilaksanakan agar dapat disiapkan mengikut garis masa, kualiti dan pulangan seperti yang disasarkan.

“Keempat, LADA perlu memastikan segala perancangan pembangunan dan promosi pelancongan pada masa akan datang ditadbir urus dengan baik supaya Langkawi kekal menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Kelima, MOF perlu lebih efektif dalam memantau dan mengawal selia syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) supaya tidak berlaku kecuaian yang boleh menjejaskan kepentingan Kerajaan,” katanya.

Katanya, MOF juga perlu sentias memastikan syarikat–syarikat MKD mampu menjana keuntungan dan berfungsi selaras dengan asas penubuhan syarikat.

Terdahulu, dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dibentangkan pada 22 November lalu, LADA dikesan gagal mengutip hasil pajakan dua projek di Langkawi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.49 juta.

Berdasarkan laporan itu, dua projek berkenaan adalah pembangunan Hotel St Regis dengan hasil pajakan sebanyak RM3.19 juta sejak 2018.

Selain itu, ia juga membabitkan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak tahun 2003.

LKAN 2022 mendapati secara keseluruhannya, prestasi pembangunan hartanah LADA bagi tempoh 2018 hingga 2022 masih belum mencapai prestasi yang memuaskan sebagai pemangkin kepada pelancongan. – 19 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related