42 laporan polis diterima berhubung isu stoking bercetak kalimah Allah

Siasatan akan diteruskan walaupun syarikat pasar raya itu sudah memohon maaf dan menarik balik semua stok stoking itu

10:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menerima 42 laporan berhubung isu stoking dicetak dengan perkataan ‘Allah’ yang dijual di sebuah cawangan kedai rangkaian serbaneka, KK Mart.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, laporan itu dibuat di seluruh negara.

Katanya, siasatan akan diteruskan walaupun syarikat pasar raya itu sudah memohon maaf dan menarik balik semua stok stoking itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan…dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sensitif terhadap isu yang boleh menimbulkan keresahan,” katanya seperti dilaporkan BH.

Pada Sabtu lalu, Pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), Datuk Seri Dr KK Chai menerusi sidang media, memohon maaf berhubung isu terbabit.

Jelasnya, stoking itu diimport dari China dan antara 1,200 pasang yang memiliki rekaan berbeza.

Beliau mengakui tidak melakukan pemeriksaan penuh ke atas setiap pasang stoking itu, namun menegaskan daripada 800 cawangan KK Mart di seluruh negara, hanya tiga cawangan yang menjual stokin dan 14 pasang sahaja mempunyai ‘Allah’.

KK Mart turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sementara itu, perkara terbabit tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai, khususnya umat Islam selepas seorang lelaki memuat naik komen sensitif mengenainya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki menggunakan nama Ricky Shane CA di Facebook itu sudah dipanggil untuk disoal siasat polis di Kota Kinabalu, susulan tindakannya yang didakwa menghina umat Islam.

Sekumpulan individu yang mengetahui identiti sebenar pengguna Facebook itu juga sudah ke pangsapurinya untuk mencari individu terbabit dan menunggu di luar pintu lobi, sebelum pihak keselamatan meminta mereka beredar.

Pengguna Facebook itu dilaporkan memohon maaf kepada umat Islam kerana menyakiti hati mereka dengan komennya. – 19 Mac 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related