Dewan Rakyat lulus pindaan AUKU, benarkan MPP terima sumbangan

Ini adalah pindaan terbaharu ke atas akta itu selepas kali terakhir pada 10 Disember 2018

5:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pindaan mendapat undian sebulat suara Ahli Parlimen itu membabitkan Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

Terdahulu, Rang Undang-Undang (RUU) AUKU Pindaan 2023 itu dibentang bagi bacaan kali kedua dan digulung oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.

Zambry berkata, pindaan Seksyen 15A AUKU menyaksikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Badan Pelajar dibenarkan untuk memungut wang dan menerima sumbangan, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

“Bagaimanapun, pindaan kepada Seksyen 15A ini masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terlibat dengan aktiviti pungutan wang atau penerimaan wang atau apa-apa sumbangan lain melainkan jika tindakan tersebut di buat atas nama atau bagi pihak MPP atau mana-mana badan pelajar universiti,” katanya.

Menurut beliau, pindaan Seksyen 16B AUKU pula membolehkan pemindahan kuasa Naib Canselor bagi pengendalian kes tatatertib membabitkan pelajar universiti awam kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

Katanya, ketika ini Seksyen 16B AUKU memperuntukkan pihak berkuasa tatatertib universiti adalah Naib Canselor.

“Dalam konteks pengendalian kes tatatertib di universiti, semakan mendapati bahawa amalan sedia ada di semua universiti awam tidak dikendalikan oleh Naib Canselor sebaliknya kuasa berkenaan terletak pada Jawatankuasa Tatatertib itu sendiri.

“Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang untuk memindahkan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar agar ia mencerminkan amalan semasa di universiti awam,” katanya.

Ketika sesi perbahasan, beberapa Ahli Parlimen membantah pindaan tersebut dilakukan kerana didakwa menyekat kebebasan pelajar.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentang pada 27 November 2023 oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ia adalah pindaan terbaharu ke atas akta itu selepas kali terakhir pada 10 Disember 2018, iaitu pemansuhan sepenuhnya Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.

AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak ia diperkenalkan pada 1971. Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009. – 18 Mac, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related