KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 36 laporan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai-kedai serbaneka KK Mart.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan bertarikh 14 Mac lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, walaupun permohonan maaf telah dikemukakan oleh pihak KK Mart dan vendor-vendor yang terlibat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan serta kegusaran awam itu.
“KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan pemeriksaan di semua premis KK Mart di seluruh negara.
“Hasil pemeriksaan yang kita buat mendapati KK Mart telah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai isu berkenaan.
Shamsul berkata, siasatan lanjut dilaksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terlibat bagi memastikan stoking tersebut tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak-pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita sentiasa memantau supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” tegasnya.
Baru-baru ini, pendakwah bebas, Firdaus Wong mahu pihak berkuasa menyiasat mengenai penjualan stoking yang tertera perkataan ‘Allah’.
Beliau mendakwa, stoking itu dijual di sebuah kedai serbaneka di Sunway.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar pula meminta umat Islam di negara ini bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Beliau berkata, pihak polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca, pihak yang bertanggungjawab selain niat di sebalik perbuatan itu. – 18 Mac, 2024