Ambil untung atas angin, kegiatan jual tapak bazar di KL dikatakan mencecah RM15,000

Lebih menyedihkan ada tapak perniagaan disewa atau dijual kepada peniaga warga asing terutama Pakistan, Bangladesh dan Indonesia

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Sehingga mencecah RM15,000. Itu jumlah dibayar pihak ketiga bagi mendapatkan sewaan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.

Difahamkan, tapak itu disewakan atau ‘dijual’ oleh pihak yang terdahulu berjaya dalam cabutan undian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan di lokasi tumpuan ramai itu.

Mendedahkan kepada Scoop, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman mendakwa, kegiatan memberi sewaan tapak berniaga itu berlaku setiap tahun, namun tidak pernah ditangani pihak berkuasa dengan sebaiknya.

Beliau berkata, lebih menyedihkan ada tapak perniagaan itu disewa atau dijual kepada peniaga warga asing terutama Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang sememangnya banyak menjalankan perniagaan sekitar kawasan berkenaan.

“Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan TAR dan sekitar Masjid India di bawah DBKL, ada dalam 230 petak jualan yang berdasarkan cabutan undi.

“Katalah saya dapat, tapi saya tidak berniaga sebab cabutan petak yang dapat itu bagi penjualan baju dan pakaian, sedangkan saya hanya ada pengalaman jual air, jadi baik saya jual petak itu dan inilah yang berlaku.

“Aktiviti jual tapak ini sudah lama berlaku, hampir setiap tahun. Kadar bayaran bergantung kepada lokasi tapak, kebiasaannya bermula RM10,000, dan ada mencecah RM13,000 hingga RM15,000 kalau lokasi tapak itu benar-benar strategik.

“Cuma bagi persatuan, kita tahu ramai pihak mahu berniaga dan dapatkan tapak terutama peniaga tempatan, tapi kita tidak mahu warga asing contohnya Pakistan, Bangladesh atau pun Indonesia yang mengambil kesempatan dengan mengguna orang tempatan untuk dapatkan lesen dan tapak berniaga,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menggesa supaya DBKL lebih bertegas dalam penguatkuasaan mereka termasuk merampas tapak yang didapati dijual kepada pihak ketiga itu.

Rosli mendakwa kegiatan memberi sewaan tapak berniaga kepada pihak ketiga, termasuk warga asing berlaku setiap tahun, dan ‘keuntungan’ boleh mencecah sehingga RM15,000. – Gambar Facebook Rosli Sulaiman, 17 Mac, 2024

“Tapak itu kalau mengikut bayaran lesen dengan berdeposit hanya sekitar RM3,000, tapi pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan atas angin.

“Ini yang menyedihkan, sedangkan ada peniaga yang benar-benar mahu berniaga tapi tidak bernasib baik dalam cabutan tapak, tapi yang dapat untung peniaga-peniaga warga asing,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk memeriksa warga asing yang kononnya berkerja sebagai pembantu jualan sedangkan mereka adalah pemilik sebenar perniagaan.

“Biasanya kalau lihat situasi ini, bagi persatuan, kita beranggapan gerai itu diusahakan warga asing dan orang tempatan hanya sebagai pembantu,” katanya.

Rosli berkata, isu berkenaan juga sudah beberapa kali dibangkitkan kepada DBKL malah pihak persatuan turut memberikan cadangan bagi menangani tindakan pihak menjual tapak itu.

“Ia sebenarnya boleh dikawal, contohnya macam mana nak buat pengawalan itu, katalah ada 230 lot tapak berniaga, kita ada empat persatuan induk iaitu Persatuan Peniaga Bumiputera, Persatuan Pekedai dan Peruncit, Persatuan Pasar Malam dan Persatuan Penjaja Kecil Melayu.

“Contoh setiap persatuan hantar 50 nama bagi cabutan undi, kemudian yang dapat kelayakan berniaga itu kita tahulah mereka ini ahli persatuan yang mana.

“.. dan kalau kata ada ahli yang jual tapak perniagaan mereka kepada pihak ketiga yang bukan ahli, senang untuk kita kesan siapa dan di bawah persatuan mana,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya ada ahli bawah persatuannya yang menjual tapak, tindakan tegas akan dikenakan dengan menarik lesen mereka dan tidak lagi dibenarkan berniaga di mana-mana bazar kendalian persatuan.

“Benda ini boleh kita kawal, kita kena tegas dalam hal ini, jadi perkara seperti ini DBKL kena lihat, persatuan lebih faham ahli dan perangai mereka,” katanya. – 17 Mac, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related