Kenapa perlu mohon maaf? Anwar ‘ceramah’ barat mengenai hubungan Malaysia dan Hamas

Malaysia komited untuk terlibat dengan Hamas kerana ia dipilih secara demokrasi di kawasan konflik Semenanjung Gaza

7:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Hamas di tengah-tengah kritikan hebat dari barat susulan label pengganas yang diberikan kepada Hamas.

Dalam temubual dengan Ketua Pengarang Antarabangsa agensi berita Jerman, DW, Richard Walker, Anwar ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap Hamas, yang didakwa terlibat dalam kematian melibatkan lebih 1,000 orang awam pada 7 Oktober lalu.

Dengan tegas Anwar menyatakan komitmen Malaysia untuk terlibat dengan Hamas kerana ia dipilih secara demokrasi di kawasan konflik Semenanjung Gaza.

“Bagaimana pemimpin Eropah dan AS berterusan menghormati dan memberikan kredit kepada (Perdana Menteri Benjamin Netanyahu) Netanyahu dan kerajaan Israel yang berterusan membunuh 30,000 kanak-kanak, wanita dan orang awam?’’ soal Anwar, yang menekankan sikap hipokrit barat dalam isu Israel.

Ditanya lanjut mengenai hubungan Malaysia dengan Hamas, Anwar menjelaskan bahawa penglibatan berkenaan adalah dengan sayap politik, bukan tentera dan menegaskan pentingnya Hamas diiktiraf sebagai wakil Palestin di Gaza.

“Sebab itulah saya katakan terdapat banyak percanggahan. Apa yang saya maksudkan ialah jika anda tidak mahu bercakap dengan Hamas, anda mahu bercakap dengan siapa?

“Apabila kawasan itu dijajah dan diganggu setiap hari, anda bercakap tentang pilihan raya demokratik, anda tidak sentuh tentang pembunuhan. Anda tidak bercakap tentang pelupusan; anda tidak bercakap tentang tanah yang diambil; anda tidak bercakap tentang kanak-kanak yang dibunuh; anda tidak bercakap tentang sekolah-sekolah yang dimusnahkan. Itu yang saya bantah.

“Dan sudah tentu, Hamas (dilabel) sebagai kumpulan pengganas.

“Saya nak tanya anda, Jerman menjajah negara-negara, Perancis atau Itali (telah melakukan perkara sama), semua pejuang kemerdekaan menggunakan cara yang anda tidak boleh pertahankan di bawah pemerintahan antarabangsa yang normal,” katanya.

Anwar turut mencabar naratif barat mengenai Hamas, merujuk kepada sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan, termasuk Nelson Mandela yang terlibat dalam perjuangan bersenjata. – Gambar Jabatan Perdana Menteri, 16 Mac, 2024

Perdana Menteri turut mencabar naratif barat mengenai Hamas, merujuk kepada sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan, termasuk Nelson Mandela yang terlibat dalam perjuangan bersenjata.

Bagaimanapun, Walker menyatakan Mandela tidak mengarahkan pembunuhan seribu orang, seperti Hamas, namun ia segera diperbetulkan oleh Anwar.

“Lebih baik anda betulkan sejarah anda, kerana Mandela adalah sebahagian daripada ANC (Kongres Kebangsaan Afrika), yang terlibat dalam beberapa tindakan (yang mengakibatkan kematian orang). Tetapi orang ramai menerimanya kerana cara (orang Afrika Selatan) dilayan, menjadi mangsa diskriminasi dan dibunuh.”

Tindakan Walker yang terus mengutuk Hamas mendorong Anwar untuk mengulangi ketegasannya yang tidak bersetuju dengan kematian orang awam di semua pihak yang berkonflik.

Anwar tiba di Berlin pada 10 Mac lalu untuk lawatan rasmi selama enam hari. – 16 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related