SHAH ALAM – Walaupun banyak jenama menyediakan koleksi raya ‘ready to wear’ namun tradisi menempah pakaian masih lagi ‘hidup’ sehingga kini.
Menerusi tinjauan Scoop di Kompleks PKNS, di sini, tukang jahit masih lagi menjadi pilihan ramai untuk mendapatkan busana raya idaman untuk digayakan pada 1 Syawal.
Salah seorang tukang jahit yang ditemui, Noraini Sayuti, 60, yang juga pemilik butik SNS Jaya Enterprise berkata untuk tahun ini, dia tidak menaikkan kadar upah sebaliknya mengekalkan harga sama seperti tahun lalu.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan tetapnya akan mencari butiknya untuk membuat tempahan kerana harga yang ditawarkan berpatutan selain jahitan tangan yang teliti dan kemas.
“Alhamdulillah, masih ada lagi tempahan biarpun kita tengok sekarang banyak orang lebih gemar beli baju yang ‘ready to wear’. Namun, untuk tahun ini, tempahan telah ditutup sejak dua minggu lalu.
“Tahun ini kami dapat lebih 200 tempahan baju kurung dan baju Melayu dari pelbagai peringkat umur. Kebanyakannya memang merupakan pelanggan tetap yang memang sudah tahu hasil kerja kami di sini.
“Harga pun kami kekalkan seperti tahun lalu iaitu dalam lingkungan RM120 hingga RM150 untuk baju kurung moden dan tradisional serta baju Melayu dari harga RM170 hingga RM200, bergantung kepada jenis kain dan rekaan yang pelanggan mahukan,” katanya.
Menurut Noraini berdasarkan pemerhatiannya, tahun ini warna yang menjadi pilihan ramai ialah jingga bata (brick orange), biru langit (sky blue) dan putih kuning (cream). Malah, trend berpakaian sedondon masih menjadi tradisi bagi pelanggannya.
“Berdasarkan tempahan yang kami dapat, memang tidak dinafikan warna brick orange, sky blue dan cream menjadi pilihan ramai. Dari segi rekaan baju kurung pula, seimbang untuk design moden dan tradisional.
“Trend sedondon satu keluarga pun kami masih dapat, mereka hantar satu kayu kain, senang kata mereka tak perlu pening-pening fikir baju raya,” katanya yang mendapatkan khidmat empat pekerja bagi menyiapkan kesemua tempahan seminggu sebelum sambutan Aidilfitri.
Sementara itu, pemilik Aden Tailoring yang khusus untuk tempahan baju Melayu sahaja, Mohamad Shah Bakhtiar, 42, pula berkata setakat ini dia sudah menyiapkan 900 tempahan yang diterima sejak bulan Disember lalu.
Manakala, baki lebih 100 pasang baju Melayu sedang giat diusahakannya bersama pekerja, agar semua tempahan dapat sampai ke tangan pelanggan seminggu sebelum raya.
“Untuk raya tahun ini, kami dapat lebih 1,000 tempahan, kebanyakan daripada pelanggan tetap yang memang menempah daripada kami pada setiap tahun ini.
“Daripada 1,000 itu, 900 kami sudah siapkan dan sudah pun diambil pelanggan, manakala yang selebihnya, kami akan push untuk siapkan seminggu sebelum raya. Macam itulah kebiasaannya operasi kami setiap kali musim perayaan.
“Dari segi rekaan, kebanyakan penduduk di sekitar Lembah Klang lebih gemarkan baju Melayu cekak musang berbanding Teluk Belanga yang mungkin lebih popular di Johor. Pelanggan muda pun ada yang minta cutting slim-fit yang mana ia kelihatan lebih kemas dan terletak berbanding baju melayu tradisional yang sedikit longgar,” katanya.
Menurut Mohamad Shah, harga yang ditawarkan juga masih dikekalkan seperti tahun lepas, iaitu dari RM120 hingga RM250 bergantung pada jenis kain serta rekaan yang dikehendaki pelanggan. – 17 Mac, 2024