Teguran ‘Barat munafik’ Anwar di Berlin disokong personaliti berpengaruh dunia

Individu terkenal itu, antaranya Maher Zain, Mehdi Hasan, Sonny Bill Williams dan Francesca Albanese berkongsi semula, puji ucapan PM pada sidang media bersama pemimpin Jerman

6:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kepimpinan negara Barat yang disifatkan munafik berhubung perang Israel di Gaza, Palestin semasa lawatan rasminya di Berlin, Jerman minggu ini, mendapat perhatian ramai.

Malah, kata-kata Anwar itu dikongsi secara meluas rakyat dunia di media sosial sehingga mendapat pujian pelbagai pihak, termasuk personaliti, tokoh dan selebriti ternama dunia.

Anwar sememangnya sebelum ini berulangkali menyatakan Barat bertindak tidak konsisten apabila berpihak kepada Israel dan enggan menyokong gencatan senjata di Gaza, namun mengutuk perang Rusia ke atas Ukraine.

Bagaimanapun, pendirian sama dilontarkannya kali ini di Jerman itu, mencetuskan perbualan ramai dan menarik perhatian, terutama apabila ia dibuat di negara berkenaan yang menyokong Israel walaupun pernah melalui peristiwa hitam Holocaust.

Ia disampaikan Anwar ketika beliau berdiri bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz pada sidang media, 11 Mac lalu.

Penyanyi dan penulis lagu antarabangsa, Maher Zain yang mempunyai 1.7 juta pengikut di platform X, mengucapkan terima kasih kepada Anwar dengan membuat pautan nama Perdana Menteri di media sosial itu

Beberapa tokoh terkemuka lain turut memuji tindakan Anwar, antaranya pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk hak asasi manusia di Palestin, Francesca Albanese.

“(Anwar) dengan tegas mendedahkan ‘double standard’ (pilih kasih) ditunjukkan banyak negara Barat yang menghalang keamanan antarabangsa, termasuk di Israel/Palestin,” kata Albanese di platform X.

Wartawan Britain-Amerika, Mehdi Hasan yang diikuti 1.5 juta orang di platform X juga menyokong kenyataan Anwar, dengan berkata ‘kita sudah mencapai satu peringkat di mana Perdana Menteri Malaysia kini bercakap mewakili majoriti rakyat dunia, bukannya pemimpin Eropah atau Barat’.

Bekas pemain All Blacks, Sonny Bill Williams turut berpihak kepada Anwar kerana ‘bercakap perkara fakta’.

Dalam sidang akhbar bersama itu, Scholz mempertahankan hak Israel untuk melindungi diri dengan apa-apa keadaan pun dan menekankan pembebasan tebusan serta bantuan kemanusiaan.

Menjawab kenyataan Scholz itu, Anwar berkata ‘Anda tidak akan dapat mencari penyelesaian dengan bersikap begitu berat sebelah apabila hanya melihat satu isu untuk menutup kekejaman dilakukan sejak 60 tahun lalu’.

“Penyelesaiannya bukan hanya melepaskan tebusan. Bagaimana pula dengan penempatan? Bagaimana pula dengan tingkah laku peneroka yang kini berterusan setiap hari?

“Bagaimana dengan pelupusan, tanah mereka, hak mereka, maruah mereka, lelaki, wanita dan kanak-kanak mereka? Adakah ini tidak membimbangkan? Di manakah kita campak kemanusiaan kita? Kenapa wujud hipokrasi ini?” kata Anwar.

Wartawan dan pengarang asing, Bruno Maçães pula menyifatkan sidang akhbar bersama antara Scholz dengan Anwar itu, sebagai ‘perubahan yang menakjubkan’, dengan menegaskan ia isyarat wujudnya ‘dunia baharu’, tetapi Jerman tidak menyedarinya.

Manakala, personaliti barat lain di platform X juga berkongsi mengenai petikan khusus mengenai kenyataan Anwar pada sidang akhbar itu, dengan mengatakan ia ‘mesti ditonton kerana sangat tepat’ dan ‘teguran yang luar biasa’.

“Orang Eropah semakin ‘disekolahkan’ kerana selama ini mereka suka bercakap mengenai orang lain. Biar mereka ‘rasa sedikit ubat mereka sendiri’ (rasai semula apa dirasakan kepada orang lain),” kata Nik Stankovic.

Teguran Anwar itu juga menjadi tajuk utama beberapa media asing, seperti Middle East Monitor dan TRT World yang berpangkalan di Turki. – 15 Mac 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related