Berselisih faham dengan ibu, kanak-kanak 12 tahun hilang

Siti Dhia Batrisyia tidak pernah keluar jauh lama-lama dan tak pernah tidak pulang ke rumah, malah dia juga tak pernah cerita ada kenalan lelaki

1:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar dilaporkan hilang sejak Selasa lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas dikatakan berselisih faham dengan ibunya pada petang hari kejadian.

Ketika dihubungi Scoop, ibu kanak-kanak itu, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, kali terakhir dia bersama anak sulungnya itu adalah di kediaman mereka di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini pada kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, berlaku perselisihan faham antara mereka selepas dia menerima WhatsApp daripada guru sekolah Dhia yang memaklumkan anaknya itu tidak hadir ke sekolah.

Selepas Dhia pulang ke rumah pada waktu petang hari kejadian, katanya, dia bertanya mengapa anaknya tidak ke sekolah dan ke mana, sebelum dimaklumkan dia membeli hadiah untuk melakukan kejutan sempena ulang tahun perkahwinan Syarifah Rosfazila dan suami.

“Saya cakap kat dia kenapa perlu pergi waktu sekolah, dia jawab bimbang tak sempat waktu lain, saya tanya lagi pergi dengan siapa dan dia maklum bersama kawannya bernama Iman, tapi saya tidak kenal.

“Saya marah dan tegur apa yang dia buat itu salah dan maklum nak sampaikan perkara itu kepada ayahnya, malah akan ambil serta simpan telefon bimbitnya.

“Lepas itu saya keluar untuk beli barang dapur bagi persediaan untuk berbuka, namun pulang saja ke rumah, Dhia sudah tidak ada, manakala adiknya yang berusia sembilan tahun sedang tidur,” katanya.

Syarifah Rosfazila berkata, dia semakin tidak senang hati apabila anak perempuannya itu masih belum pulang ke rumah selepas waktu berbuka puasa.

“Selalunya dia akan pergi ke rumah kawan-kawan di sekitar kawasan ini, saya dan suami kemudian mencarinya, bertanya dan menghubungi rakan-rakan Dhia, namun tidak seorang pun mengetahui keberadaannya. Dhia pun tak bawa telefon, dia hanya bawa kad sim bersamanya.

“Ada pelbagai cerita, ada kata anak saya pergi ke tempat ini, tempat itu, ada rakan kata Dhia mengikut seorang lelaki tidak dikenali yang didakwa dikenali melalui media sosial,” katanya.

Beliau berkata, keesokannya kira-kira jam 10 pagi, dia bersama suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berkait kehilangan anaknya itu.

Ditanya mengenai sikap anaknya itu, Syarifah Rosfazila berkata, Dhia seorang yang periang, mudah mesra, menghormati orang dan bukan kanak-kanak bercakap kasar.

“Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama dan tak pernah tak balik rumah, dia juga tak pernah cerita ada kenalan lelaki dan adiknya juga tidak pernah melihat sama ada di sekolah atau di sekitar perumahan ini, dia berjumpa dengan mana-mana budak lelaki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan satu laporan diterima pihaknya semalam.

“Kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dan tindakan mengesan sedang giat dijalankan” katanya. – 15 Mac, 2024

Topics

Hangat

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Zhijie’s tragic death underscores crucial BAM-IJN partnership for athlete health

Incident a 'wake-up call' for importance of comprehensive health checks among athletes, medical assessments should be mandatory across all national sports associations, says BAM president

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related