Syoknya, Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah diiktiraf terpanjang di Perak

Bazar beroperasi dari jam 3 petang hingga 11 malam sepanjang Ramadan itu, disertai 100 peniaga dengan ratusan juadah istimewa dan popular

11:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sekiranya anda merasakan bazar di sekitar kawasan perumahan anda yang beroperasi sempena bulan puasa ini sudah cukup ‘syok’, ia pastinya tidak boleh menandingi apa ditawarkan di Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Ipoh.

Bazar terletak di Meru Raya itu, bukan sahaja diiktiraf bazar Ramadan terpanjang di Perak dengan jarak sejauh 500 meter, tetapi menawarkan ratusan menu menarik, unik dan enak.

Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Nurdita Fadzlinda berkata, populariti BSAS sememangnya melonjakkan namanya sebagai destinasi kunjungan ramai, terutama pada setiap hari minggu.

Pada tahun lalu, pihak perbadanan PKNPk melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan berkenaan dan berjaya menarik 50,000 pengunjung. – Gambar ihsan PKNPk, 14 Mac, 2024

“Bersempena Ramadan, PKNPk membuka ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menyajikan aneka jenis kuih-muih, lauk-pauk dan minuman sebagai pilihan juadah berbuka puasa.

“BSAS juga menjadi lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun, malah ia menjadi tular pada tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Bazar itu beroperasi dari jam 3 petang hingga 11.00 bermula 12 Mac lalu hingga 9 April ini.

Antara menu menarik dan popular dijual di situ adalah Royal Popiah Kuala Kangsar, Air Tembikai Sarbat, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah serta Nasi Vanggey.

Nurdita berkata, pada tahun lalu, pihak perbadanan itu melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan berkenaan dan berjaya menarik 50,000 pengunjung.

Menurutnya, bertitik tolak dari kejayaan tahun lalu, acara terbabit pada kali ini dianjurkan sepenuhnya PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran.

PKNPk, katanya, membuat beberapa penambahbaikan kepada kemudahan bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung bazar itu.

“Kami juga memastikan kebersihan makanan diutamakan dan pemilihan peniaga, diberi perhatian rapi agar kepelbagaian serta kualiti juadah terjamin.

“Pihak kami menyediakan ruang lebih luas kepada peniaga dengan saiz 10 kaki x 20 kaki dengan kadar sewa antara RM1,500 hingga RM2,500.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui Perak Sejahtera 2030 bagi memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil serta sederhana, mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan,” katanya.

Ujarnya, susun atur bazar pada tahun ini juga, lebih selesa untuk pengunjung, khususnya laluan pejalan kaki yang lebih lebar.

Pada masa sama, Nurdita berkata, pihak perbadanan memastikan kemudahan parkir mencukupi untuk orang ramai, dengan menyediakan ruang tambahan bersebelahan Menara A PKNPk dan di kawasan Rumah Tradisional Melayu (RTM).

Bagi pengunjung yang meletakkan kenderaan di BSAS katanya, caj RM1 dikenakan pada hari biasa dan RM2 semasa hujung minggu.

“PKNPk sentiasa memastikan aspek kebersihan di tapak bazar Ramadan berada dalam keadaan baik dan sempurna pada setiap masa, justeru pihak kami melantik syarikat kontraktor bagi mengendalikan kerja pembersihan serta pengurusan sampah sepanjang bazar Ramadan berlangsung.

“Sebanyak 20-unit tong sampah tambahan ditempatkan di kawasan tumpuan pengunjung, terutama di kawasan tapak perkelahan di tengah bulatan.

“Kemudahan tandas mencukupi dan surau selesa turut terdapat di situ. Surau lelaki dan wanita turut disediakan dengan dilengkapi tempat mengambil wuduk yang memuatkan kira-kira 30 orang dalam satu masa,” katanya.

Nurdita berkata, bazar itu juga menawarkan aktiviti dan permainan menarik.

“Ia seperti paddlers, go-kart dan soopa doopa yang akan beroperasi seperti biasa di sepanjang Ramadan,” katanya. – 14 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related