Ada sekolah kaut yuran PIBG hingga RM500, ‘melampau, tangguhkan dulu kutipan!’

Peranan PIBG bukan hanya mencari dana tetapi sebaik-baiknya menggembleng tenaga kepakaran, kemahiran dan apa yang boleh disumbangkan secara percuma dalam kalangan ibu bapa

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Baru sahaja minggu pertama persekolahan, tapi sudah kedengaran cerita kurang enak mengenai yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang agak membebankan.

Malah, ada sekolah didakwa menetapkan yuran PIBG terlalu tinggi sehingga mencecah RM500 bagi sesi persekolahan baharu ini.

Mendedahkan perkara itu kepada Scoop, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan menegaskan, tindakan mensyaratkan yuran terlalu tinggi itu dilihat agak melampau.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan. – Gambar fail Bernama, 15 Mac, 2024

Katanya, ia juga tindakan tidak bertimbang rasa tanpa mengira kedudukan kewangan ibu bapa kurang berkemampuan yang sudah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli barang keperluan sekolah anak, selain persediaan bulan puasa dan sambutan Aidifitri bulan depan.

“Ada sekolah yang meminta sumbangan yang tinggi mencecah RM500, selain ada juga yang tetapkan kadar RM300 bergantung kepada sekolah.

“Kita perlu mengambil kita pendapatan ibu bapa dan berapa ramai tanggungan anak yang bersekolah, kedudukan sekolah dan membelanjakan wang untuk perkara yang lebih penting.

“Jangan belanja mewah, sebagai contoh ada sekolah dan PIBG (kutip sumbangan tinggi) buat majlis graduasi akhir tahun di hotel mewah dan ini sudah melampau. Sebaliknya, perlulah ambil kira mengenai kesamarataan dan kemampuan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan antara perkara dibangkitkan dalam mesyuarat PIBGN hasil aduan ibu bapa susulan pembukaan sesi baharu persekolahan.

Menurutnya, berikutan bebanan termasuk peningkatan kos sara hidup dihadapi ibu bapa, pihak sekolah dan juga PIBG masing-masing disarankan supaya tidak terlalu ghairah untuk mengutip yuran tersebut pada awal pembukaan persekolahan.

“Mungkin boleh tangguh kutipan pada penggal kedua persekolahan supaya dapat meringankan dan membantu ibu bapa dan penjaga yang terkesan,” katanya.

Tambah beliau, teguran itu bukan bertujuan untuk melaga-lagakan atau mencari kesalahan antara sekolah dan PIBG mahupun menjadikan isu tersebut sebagai modal politik pihak tertentu.

“Kita bukan mahu cari kesalahan satu sama lain, jadi janganlah dipolitikkan isu dan fahamilah kehendak dan tujuan diwujudkan PIBG yang berperanan untuk membantu apa saja untuk meningkatkan kemajuan murid di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, kadar bayaran yuran PIBG perlu mendapat persetujuan Mesyuarat Agung PIBG dan sebelum kutipan dibuat, ia juga perlu dimaklumkan kepada Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri.

“Jadi tidak boleh sewenang-wenangnya mengutip sumbangan tanpa ambil kira hal-hal berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, peranan PIBG bukan hanya mencari dana tetapi sebaik-baiknya menggembleng tenaga kepakaran, kemahiran dan apa yang boleh disumbangkan secara percuma dalam kalangan ibu bapa.

“Ini dilakukan di luar negara, secara sukarela, infaq masa, beri sumbangan ikhlas malah ada yayasan dan pihak swasta turut membantu keperluan PIBG sekolah tanpa membebankan ibu bapa dan guru,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri boleh memberi arahan kepada sekolah untuk memastikan kadar yuran PIBG yang dikenakan tidak membebankan ibu bapa.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim. – Gambar fail Scoop, 15 Mac, 2024

“Harus difahami umum, tidak wujud terma yuran PIBG. Sebaliknya ia adalah sumbangan sukarela dari ibu bapa. Jika sebelum ini ada ibu bapa merungut sumbangan RM30 pun sudah membebankan mereka, apatah lagi mencecah RM500 yang terlalu melampau.

“Mungkin ini adalah bayaran untuk menampung majlis graduasi yang terlebih canggih seperti tular di TikTok. Justeru, pihak sekolah perlu diberi teguran jika sumbangan yang diminta membebankan ibu bapa,” katanya. – 15 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Punk venue Rumah Api faces relocation amid financial struggles, festival fallout

After eight years of operating on the top floor of Menara MPAJ in Ampang Jaya, local punk music venue Rumah Api will be relocating later this year due to increased rental and related arrears that accumulated during the Covid-19 pandemic.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related