KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas khas (taskforce) bagi melaksanakan kajian menyeluruh berhubung proses discaj pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara dari Institut Jantung Negara (IJN) berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, terma rujukan dan keanggotaan pasukan petugas khas termasuk ringkasan eksekutifnya dan garis masa penyiapan kajian itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, selepas dimuktamadkan, perkara itu akan dilaporkan semula kepada Jemaah Menteri.
“KKM melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) KKM juga akan meningkatkan komunikasi strategik mengenai isu ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat amnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, tujuan kajian itu dilaksanakan bagi menentukan kategori layak untuk menerima rawatan di IJN.
Terdahulu, portal Code Blue menerusi laporannya memetik kenyataan seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.
Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan mendakwa, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.
“Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos.
“Saya juga mendapat tahu pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara, beberapa bulan lalu turut mengalami nasib yang sama.
“Jadi, saya pulang ke rumah dan membuat persediaan untuk berjumpa doktor di pusat jantung KKM berhampiran rumah saya. Ini bukan mudah kerana saya terpaksa membuat janji temu dan klinik sibuk,” katanya.
Mengulas lanjut, Lukanisman menegaskan, pesakit hanya dibenarkan keluar daripada IJN apabila keadaan mereka stabil dengan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya enam bulan sehingga setahun untuk orang dewasa dan satu hingga dua tahun untuk kanak-kanak.
Katanya, perkara itu dilaksanakan selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Tahun 2002.
“Pesakit yang stabil ini masih boleh dirujuk ke hospital KKM bagi mendapatkan rawatan susulan. Hospital-hospital KKM juga dilengkapi dengan peralatan dan fasiliti yang baik serta mempunyai pakar perubatan dan pakar bedah bertauliah dan menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan IJN.
“Pendekatan ini membolehkan sekurang-kurangnya 4,000 hingga 5,000 pesakit baharu boleh dirujuk ke IJN setiap tahun bagi mengoptimumkan perbelanjaan,” katanya. – 14 Mac, 2024