KUALA LUMPUR — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan mengelirukan pengguna dengan menjual kurma keluaran Israel.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, untuk itu KPDN akan terus membuat pemantauan di pasaran berhubung isu yang dibangkitkan itu.
Menurut beliau, di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan penalti seperti berikut:
i. Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya;
ii. Syarikat; boleh didenda sehingga RM250,000.
“Kementerian juga ingin menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dan sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan boleh mengemukakan aduan tersebut bersama butiran dan maklumat yang lengkap dan tepat.
“Sebaik sahaja menerima laporan media berhubung dakwaan penukaran label dan kotak kurma yang berasal dari Israel dijual di pasaran tempatan, KPDN melalui Bahagian Penguat Kuasa menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011.
“Kita juga mengalu-alukan sebarang aduan rasmi berserta butiran dan maklumat di sebarang platform aduan rasmi KPDN untuk membolehkan siasatan dijalankan,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan yang telah diambil susulan pembongkaran terdapatnya kurma berasal dari Israel yang dibawa masuk ke negara ini.
Dalam sidang akhbar semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) telah merampas 73 pek kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel.
Seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Kepada soalan tambahan Rosol mengenai tindakan kerajaan menyekat pengimportan kurma dari Israel itu, katanya, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbang lesen import sebarang produk dari Israel.
“Ini bermaksud di luar bidang kuasa KPDN. Walau bagaimanapun, kita akan terus memantau di pasaran khususnya melibatkan Akta Perihal Dagangan. Jika terdapat pasaran, kita serta-merta masukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dalam Op Pantau untuk lihat secara terperinci berkaitan penjualan kurma berkenaan,” katanya. – 14 Mac, 2024