PM Anwar pelawa firma Jerman, Eropah melabur di Malaysia

Sejak sedekad lepas, Jerman kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia di Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia merupakan rakan dagang terbesar negara itu di Asia Tenggara

8:33 AM MYT

 

BERLIN — Malaysia mempelawa kalangan firma Jerman serta perniagaan di serata Eropah untuk turut mengambil bahagian, melabur dan menjalin kerjasama dengan Malaysia yang juga sebuah negara dinamik, strategik dan pesat berkembang.

Ketika membuat pelawaan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga menawarkan barisan tenaga kerja mahir, infrastruktur moden, persekitaran kawal selia yang jelas selain potensi pertumbuhan yang besar. 

“Kami adalah sebuah ekonomi dinamik yang sesuai dan menepati abad ke-21, malah rakan kongsi yang sempurna untuk kalangan perniagaan Jerman,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada acara SME Future Day 2024 (Mittelstand) khusus untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Acara yang diadakan di Berlin Station dan dianjurkan oleh Persatuan PKS Jerman (BVMW), menghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan PKS selain turut disertai oleh wakil kerajaan dan tokoh korporat terkemuka negara itu.

Anwar yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu, turut mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai pintu masuk strategik untuk Jerman ke pasaran Asean yang lebih besar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama di SME Future Day 2024 (Mittelstand) yang dianjurkan oleh Persatuan PKS Jerman (BVMW). Acara itu menghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan PKS selain turut disertai oleh wakil kerajaan dan tokoh korporat terkemuka Jerman – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 14 Mac, 2024

“Asean dijangka muncul sebagai ekonomi kelima terbesar dunia menjelang 2030. Rantau ini turut menyediakan peluang bagi pertumbuhan yang eksponen,” kata beliau.

Sejak sedekad lepas, Jerman kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia di Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia merupakan rakan dagang terbesar negara itu di Asia Tenggara.

Perdagangan dua hala telah melonjak sebegitu ketara pada purata tahunan sebanyak 5.2 peratus manakala Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI) dengan syarikat Jerman melabur sebanyak 8.5 bilion euro pada 2023.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mengetengahkan manfaat yang boleh diraih pelabur asing daripada pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan bagi memudah cara menjalankan perniagaan, membina keyakinan terhadap sistem Malaysia yang pada akhirnya dapat memastikan kestabilan jangka panjang di negara ini.

PKS dan ekonomi digital

Pada sesi pertemuan dengan perniagaan dan pelabur Jerman, Anwar memaklumkan mereka mengenai kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk kepada ekosistem halal dan ekonomi digital.

Malah, sejajar usaha Jerman yang berhasrat untuk menembusi pasaran halal, beliau berkata Malaysia selaku peneraju dalam industri bernilai berbilion dolar, adalah rakan kongsi yang ideal dengan menawarkan kepakaran, infrastruktur dan rangka kerja kawal selia halal yang mantap.

Sewaktu berucap, Perdana Menteri berkata Malaysia dan Jerman serta ekonomi masing-masing dibangunkan pada asas yang sama iaitu bersandarkan PKS walaupun saiz sektor PKS Jerman jauh lebih besar.

Perdana Menteri melawat salah satu reruai di acara SME Future Day 2024 (Mittelstand), Berlin. Sebanyak enam syarikat Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyertai pameran dalam acara itu – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 14 Mac, 2024

Beliau juga menyifatkan Jerman sebagai sumber inspirasi kerana kejayaan negara itu untuk bangkit dengan lebih kukuh selepas mengalami kemusnahan dalam Perang Dunia Kedua.

Pada masa ini, kata Perdana Menteri, terdapat lebih daripada 700 syarikat-syarikat Jerman beroperasi di Malaysia, termasuk firma terkemuka seperti Siemens, Infineon serta Volkswagen.

Selain itu, Anwar berkata firma Jerman boleh bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha yang berkaitan dengan membangunkan tenaga boleh baharu.

Beliau turut mengambil peluang dengan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan dan mengetengahkan keunikan negara ini yang kaya dengan hutan serta pantai yang boleh dikunjungi sepanjang tahun.

Selain menggalakkan PKS untuk menerima inisiatif hijau, termasuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Anwar berkata kerajaan turut melonjakkan ekonomi digital dengan tumpuan khusus bagi menggalakkan teknologi digital kepada kalangan PKS bagi meningkatkan pertumbuhan eksport.

Sebanyak enam syarikat Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyertai pameran dalam acara itu di sini. – 14 Mac, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related