Pindaan kewarganegaraan cadangan paling regresif dalam 50 tahun: Suhakam

Cadangan pindaan itu seharusnya dirangka daripada perspektif dua hala, dengan memelihara kedaulatan Malaysia dan mengambil kira natijah untuk mengurangkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan

6:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sekali lagi menggesa kerajaan tidak meneruskan tindakan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan, termasuk mengenai status kanak-kanak terdampar.

Pesuruhjaya Suhakam, K Ragunath berkata, sebaliknya kerajaan perlu mengadakan kajian lebih komprehensif supaya isu tanpa kewarganegaraan ditangani secara holistik.

Beliau berkata, cadangan pindaan itu seharusnya dirangka daripada perspektif dua hala, dengan memelihara kedaulatan Malaysia dan mengambil kira natijah untuk mengurangkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

“Terdapat beberapa siri libat urus, perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan dengan latar belakangnya ialah isu ibu warga Malaysia. Cabaran sudah berlalu di mahkamah, itulah yang menjadi pendorong kepada perubahan kami cuba usahakan.

“Tetapi malangnya dalam proses itu, kerajaan terus memperkenalkan lima atau enam peruntukan lain yang kami dapati sangat regresif dan dari segi maksudnya, ia adalah satu kemunduran serius untuk hak asasi manusia, umumnya di Malaysia.

“Kami boleh katakan bahawa ini adalah salah satu cadangan pindaan paling regresif dalam Perlembagaan bagi tempoh 50 hingga 60 tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Suhakam tidak mempunyai sebarang masalah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, namun cadangan pindaan itu dilihat sebagai defisit keyakinan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Teras pindaan itu, adalah apa diperuntukkan untuk Perlembagaan dipindahkan daripada peruntukan bertulis kepada budi bicara menteri.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan menteri dan kerajaan semasa, tetapi kami mahu sesuatu yang ditulis secara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan dan untuk beralih kepada budi bicara menteri, bukanlah sesuatu yang boleh kami terima.

“Ia menimbulkan ketidaktentuan, masalah dari segi kelulusan daripada kerajaan dan ia bukanlah keadaan yang kami rasa selari dengan kerajaan madani,” katanya.

Ragunath berkata, secara amnya, kebimbangan pihaknya adalah terdapat defisit keyakinan yang serius terhadap JPN.

“Alasannya sangat jelas, permohonan telah masuk selama lima hingga tujuh tahun dan tiada sebarang maklum balas daripada JPN.

“Jadi apabila anak membuat permohonan melalui penjaga dan terpaksa menunggu selama enam hingga tujuh tahun sebelum mendapat jawapan, ini tidak boleh diterima.

“Terdapat defisit kepercayaan yang besar terhadap agensi ini. Teras pindaan ini adalah untuk memindahkan hak ini kepada kuasa budi bicara menteri. Kami mendapati ia regresif dan ia perlu dilihat semula,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan untuk meminda Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbuang melalui kuat kuasa undang-undang.

Katanya, inti pati menangani isu tanpa kewarganegaraan golongan kanak-kanak itu jelas termaktub dalam peruntukan sedia ada di Seksyen 19B, dan Seksyen 1(e) dibaca bersama Seksyen 2(3), namun pelaksanaan tidak sampai ke akar umbi masyarakat terkesan.

“Kementerian Dalam Negara (KDN) tanpa membentangkan bukti konkrit dan data kukuh berhubung ancaman keselamatan negara jika kewarganegaraan diberikan kepada golongan kanak-kanak ini, menafikan hak kewarganegaraan seseorang individu secara arbitrari dan boleh disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.

“Suhakam juga berpandangan, risiko ancaman keselamatan negara sebenarnya terbentuk daripada isu tanpa kewarganegaraan yang berlarutan, akibat prosedur di peringkat JPN yang tidak jelas dan bersifat eksklusif.

“Amat penting untuk diketengahkan, terdapat kaitan besar antara isu tanpa kewarganegaraan dan keganasan atau jenayah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, penafian kewarganegaraan merobek peluang seseorang individu untuk membentuk hala tuju dalam kehidupan, berikutan individu berasa tidak mempunyai peranan konstruktif untuk memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

“Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan formal adalah berisiko terjerumus ke dalam idea radikal yang akhirnya akan membawa mereka kepada kancah jenayah dan keganasan,” katanya.

Kelmarin, Saifuddin di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, komposisi penduduk di negara ini terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing, memerlukan kerajaan membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini, memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, situasi semasa memerlukan kerajaan melakukan perkara yang betul dan mengelak kewarganegaraan diberi kepada mereka yang tidak layak.

Hari ini pula, Majlis Peguam dalam kenyataannya sekali lagi menggesa supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan, termasuk mengenai status kanak-kanak terdampar dihentikan.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, pindaan itu disifatkan terlalu regresif dan membimbangkan kerana penghapusan hak individu tanpa kerakyatan tidak boleh dikaitkan dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. – 13 Mac, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related