Suntikan insulin tak batalkan puasa pesakit diabetes

Pada masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, pesakit diabetes kronik tidak diwajibkan untuk berpuasa kerana dibimbangi boleh memudaratkan kesihatan

2:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suntikan insulin yang perlu diambil pesakit diabetes untuk mengawal paras gula dalam darah tidak membatalkan puasa.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, ini kerana cecair suntikan tersebut bersifat ubat-ubatan dan bukannya sesuatu yang mengenyangkan.

Menurutnya, suntikan itu juga dilakukan pada bahagian tisu lemak di antara kulit dan otot badan atau anggota badan lain seperti paha atau lengan, bukannya di bahagian rongga badan yang terbuka.

“Berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami 93 (1/10) pada 28 Jun sehingga 3 julai 1997 juga memutuskan bahawa suntikan yang bersifat perubatan tidak akan membatalkan puasa sekiranya dilakukan secara suntikan ke bawah kulit, dalam otot atau ke dalam salur darah.

“Jabatan Mufti Mesir pula menjelaskan hukum suntikan insulin di bawah kulit pada siang hari bulan Ramadan adalah tidak membatalkan puasa walaupun sampai ke rongga perut. Hal ini kerana, suntikan cairan tersebut tidak melalui rongga terbuka dengan cara kebiasaan,” katanya.

Pada masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, pesakit diabetes kronik tidak diwajibkan untuk berpuasa kerana dibimbangi boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Katanya, risiko kesihatan bagi pesakit diabetes ketika berpuasa adalah hipoglisemia, hiperglisemia, dehidrasi, kepekatan darah dan diabetic ketoacidosis (DKA).

“Maka, pesakit berisiko tinggi adalah dinasihatkan supaya tidak berpuasa. Firman al-Qurtubi menjelaskan bahawa sakit yang diharuskan berbuka puasa boleh terjadi dalam dua keadaan.

“Pertama, pesakit yang memang tidak mampu berpuasa dalam apa jua keadaan, justeru dalam hal ini wajib baginya untuk berbuka puasa.

“Kedua, pesakit yang mampu berpuasa akan tetapi ia akan menambahkan mudarat dan risiko pada dirinya, maka golongan tersebut diberikan rukhsah untuk berbuka puasa,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, bagi pesakit berisiko sederhana, mereka boleh berpuasa sekiranya sudah membuat penilaian perubatan beberapa bulan sebelum Ramadan.

Katanya, ini bagi mengubahsuai jadual rawatan pengambilan ubat oral dan suntikan insulin yang perlu diambil.

“Namun pesakit kategori ini juga memerlukan pemantauan yang ketat bagi memastikan tahap glukosa berada pada paras normal.

“Bagi pesakit berisiko rendah pula, mereka adalah selamat untuk berpuasa,” katanya. – 12 Mac 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related