‘Satu cebis bukti pun HRW tak dapat kemukakan tapi…’, Saifuddin nafi pelarian ditindas di depot Imigresen

Bukan sahaja kematian tetapi kesesakan juga tidak berlaku di 20 depot tahanan Imigresen di seluruh negara seperti didakwa dalam laporan berkenaan

12:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan laporan Human Rights Watch (HRW) yang mendakwa kerajaan menindas kumpulan pelarian yang ditahan di depot tahanan Imigresen sehingga menyebabkan kematian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bukan sahaja kematian tetapi kesesakan juga tidak berlaku di 20 depot tahanan Imigresen di seluruh negara seperti didakwa dalam laporan berkenaan.

Susulan itu, katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) telah memanggil Jabatan Imigresen untuk memberikan penjelasan dan turut meminta bukti HRW berhubung dakwaan tersebut.

“Saya difahamkan dalam keterangan itu, ketika diminta pembuktian di mana penderaan berlaku, di mana kes kematian, di kem mana, Bekenu, Belantik, Semenyih, Pekan Nanas, di Tawau, Bidok? Di mana berlaku penderaan dan kematian berlaku seperti disebut?

“Satu cebis bukti pun tak dapat mereka kemukakan tetapi laporan telah mereka carah satu dunia. Ini hakikat yang saya kena bentangkan secara terus-terang di dalam dewan ini,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memintanya menyatakan mengenai laporan baharu HRW yang mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian di dalam pusat tahanan yang penuh sesak melebihi kapasiti dan wujud kematian dalam kalangan golongan rentan dan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setakat 7 Mac lalu, seramai 13,655 pelarian ditempatkan di 20 depot Imigresen di seluruh negara, berbanding jumlah kapasiti sebenar 20,650 orang.

“Ada 20 depot Imigresen di negara kita, kapasitinya 20,650 orang. Sehingga 7 Mac 2024, jumlah yang tinggal di dalamnya seramai 13,635… di bawah kapasiti. Jadi dakwaan laporan HRW tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara. Adakah sesak? Jawapannya tidak,” katanya.

Jelasnya lagi, warga asing paling ramai ditahan di depot ialah dari Myanmar iaitu 4,541, diikuti Indonesia (3,767), Filipina (2,914), Bangladesh (1,000), Thailand (329) dan lain-lain (1,054).

Malah katanya, kumpulan tahanan yang berada di depot antaranya terdiri daripada mereka yang baru selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan.

“Sementara tunggu untuk diusir, Jabatan Imigresen kena berurusan dengan pejabat kedutaan asing supaya disediakan dokumen perjalanan. Lagi cepat dokumen perjalanan dikeluarkan, lagi cepat kita hantar mereka balik.

“Kedua, mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta pasport, boleh jadi terlebih tinggal, salah guna pas, boleh jadi juga Tak ada dokumen sama sekali.

“Jadi kita letak mereka di dalam untuk selesaikan siasatan dan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum mereka dituduh ataupun tidak. Jadi sementara proses itu berlaku, mereka kita letakkan di Depot Imigresen,” katanya. – 12 Mac 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related