KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd telah merekodkan dividen dua kali ganda sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM500 juta bagi tempoh sama pada 2022, di tengah pasaran yang tidak menentu.
Ia juga merekodkan keuntungan daripada operasinya sebanyak RM5.9 bilion, iaitu peningkatan ketara dari RM1.6 bilion pada 2022.
Ini didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama, dan pemeliharaan modal.
Bagaimanapun hutang meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion daripada RM49.1 bilion pada 2022.
Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, walaupun 2024 dijangka menjadi satu lagi tahun yang mencabar di peringkat global dengan ketidaktentuan politik memuncak, memajukan Malaysia akan kekal tema utama untuk mengemudi strategi serta tindakan ke arah menyampaikan pembangunan negara dan memastikan masa depan yang mampan.
“Kami mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada tahun 2023, dengan keuntungan yang melebihi tiga kali ganda berbanding 2022,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, pada 2023, Khazanah membuat pelaburan baharu RM7.3 bilion dan memperoleh RM7.2 bilion hasil pengewangan aset.
“Aset Penerbangan dan Pelancongan Khazanah menunjukkan prestasi kewangan dan operasi yang lebih baik dengan Malaysia Aviation Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai positif untuk pertama kalinya dalam tempoh setahun penuh.
“Destination Resorts and Hotels pula catat pemulihan kukuh pasca pandemik. Tiada suntikan modal tambahan diperlukan sepanjang 2023,’’ katanya. – 11 Mac, 2024
BERITA LANJUT MENYUSUL