Peniaga bazar Ramadan terpaksa kekalkan harga, elak kehilangan pelanggan

Tinjauan Scoop mendapati meskipun kos harga bahan mentah naik, peniaga terbabit terpaksa mengekalkan harga jualan kerana bimbang kehilangan pembeli

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Rata-rata peniaga bazar Ramadan di Bandar Seri Putra, Bangi memilih untuk mengekalkan harga jualan makanan dan minuman sama seperti tahun sebelumnya.

Tinjauan Scoop mendapati meskipun kos harga bahan mentah naik, peniaga terbabit terpaksa mengekalkan harga jualan kerana bimbang jika kehilangan pembeli.

Peniaga bubur dan ayam goreng, Azmi Saidin, 50, berkata, harga bahan mentah menunjukkan peningkatan dan tidak dinafikan ia sememangnya memberi kesan kepada semua peniaga di bazar Ramadan.

Bagaimanapun, katanya, dia masih mengekalkan harga seketul ayam goreng pada harga RM1.50 manakala bubur ayam pula berharga RM5 sebekas.

Azmi Saidin berkata, walaupun harga bahan mentah menunjukkan peningkatan, dia masih mengekalkan harga seketul ayam goreng pada harga RM1.50 manakala bubur ayam pula berharga RM5 sebekas – Muslim Al Abid Baharuddin/Scoop, 11 Mac, 2024

“Sebelum ini harga ayam RM 7.30 sekilogram (kg), sekarang dah naik sehingga lebih kurang RM 8.60. Tapi, saya akan kekalkan harga seketul ayam goreng RM1.50.

“Bubur pun akan kekal dengan harga RM5, walaupun harga beras dah naik daripada RM26 kepada RM35 untuk kampit 10kg,” katanya yang akan memulakan jualannya di bazar tersebut bermula petang ini.

Peniaga kuih samosa, Putra Rasid, 33, berkata, dia tiada pilihan untuk mengekalkan harga kuih itu RM1.50 sebiji kerana menjangkakan pelanggan pada kali ini akan berkurangan.

Bagaimanapun, dia tidak menolak mungkin terdapat peniaga yang akan menaikkan harga jualan mereka demi kelangsungan perniagaan.

Putra Rasid berkata, dia tiada pilihan untuk mengekalkan harga kuih itu RM1.50 sebiji kerana menjangkakan pelanggan pada kali ini akan berkurangan – Muslim Al Abid Baharuddin/Scoop, 11 Mac, 2024

“Kuih samosa ini saya tak naikkan harga. Tapi mungkin gerai lain yang lebih banyak gunakan bahan mentah akan naikkan harga jualan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Putra turut menasihati peniaga lain supaya tidak mengaut keuntungan semata-mata tetapi perlu menitikberatkan kualiti makanan yang dijual.

“Bagi saya, bila berniaga harus jujur dan bertanggungjawab. Kalau dah jual mahal-mahal, pastikan makanan itu berkualiti dan berbaloi untuk dibeli pelanggan,” katanya.

Sementara itu, peniaga nasi kukus, Muhd Hidayatullah, 23, berkata, walaupun berniaga dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini, aspek penyediaan makanan dan persekitaran gerai tidak harus dipandang remeh.

Katanya, peniaga harus menjaga elemen kebersihan makanan yang dijual supaya mendapat keredaan Allah.

Muhd Hidayatullah, 23, berkata, walaupun berniaga dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini, aspek penyediaan makanan dan persekitaran gerai tidak harus dipandang remeh – Muslim Al Abid Baharuddin/Scoop, 11 Mac, 2024

“Dalam meniaga ini kena ikhlas buat kerja, kualiti kena jaga baik-baik supaya pelanggan puas hati.

“Kebersihan gerai dan makanan pun kena jaga, sebab kita nak bagi orang makan kan?” katanya.

Minggu lepas, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar menasihati peniaga bazar Ramadan agar mengelak menjual juadah seperti karipap ‘oksigen’, lauk basi serta air tebu masam.

Bercakap kepada Scoop, Bungsu berkata, peniaga boleh mendapat pahala kerana membantu menyediakan keperluan kepada golongan yang memerlukan seperti orang bujang atau mereka yang tidak sempat menyediakan juadah berbuka kepada keluarga.

Namun, katanya ia akan bertukar menjadi dosa jika peniaga bazar menipu dalam perniagaan dengan menjual semula lauk semalam dan tidak menjual dalam sukatan yang sepatutnya.

“Pahala akan berkurangan sekiranya peniaga tidak jujur dalam perniagaan mereka, contohnya seperti jual karipap inti kosong, menipu sukatan atau menjual semula lauk-pauk yang tidak terjual semalam. – 11 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related