KUALA LUMPUR – Kerosakan di bahagian bumbung rumah agam usang dikenali sebagai Rumah 99 Pintu di Ladang Byram, di Nibong Tebal, perlu dibaiki mengikut prosedur apatah lagi ia adalah milik persendirian.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye, beliau telah mengarahkan Majlis Bandaraya Seberang Perai untuk mengeluarkan surat kepada pihak terbabit berhubung prosedur pembaikan.
Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi memaklumkan beliau menghubungi polis sebaik mengetahui mengenai kerosakan tersebut.
“Polis telah ke tempat kejadian dan setibanya di situ, pintu pagarnya telah berkunci.
“Memandangkan rumah agam itu adalah milik persendirian, ia tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran jadi saya tidak dapat memasukinya untuk melihat situasi sebenar,’’ katanya seperti dilaporkan portal berbahasa Cina, Kwang Wah.
Mengikut laporan di media sosial, kren berkenaan dipercayai digunakan oleh kru penggambaran filem asing di Pulau Pinang.
Malangnya, kren tersebut dikatakan tidak stabil lalu tumbang dan menghempap sebahagian banglo yang penuh dengan sejarah.
Individu yang memuatnaik gambar-gambar di media sosial bagaimanapun tidak menyatakan tarikh bila kejadian tersebut berlaku.
Bangunan tersebut disenaraikan sebagai warisan di Seberang Perai namun ia tidak diwartakan. Memandangkan ia adalah milik persendirian, bangunan itu tidak dibuka kepada orang ramai.
Namun Rumah 99 dibuka untuk disewa bagi penggambaran filem. Pada 26 Julai, 2020, ia telah terbakar dan hampir 70% struktur bangunan mengalami kemusnahan.
Rumah berkenaan yang dibina pada zaman kolonial British itu memiliki keunikan tersendiri dan dikatakan memiliki 99 pintu. Ia dikelilingi ladang kelapa sawit pada suatu masa lalu.
Kediaman yang dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.5 hektar itu dikatakan mempunyai sejarah hitam tersendiri dan sering diselubungi dengan kisah-kisah seram serta misteri. – 9 Mac, 2024