Longgar syarat lulus Bahasa Melayu, galak lebih ramai orang Cina jadi penjawat awam

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu, bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai kaum Cina dalam perkhidmatan awam.

Bercakap kepada Scoop, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Teo Kok Seong berkata, saranan itu perlu dipertimbangkan kerajaan memandangkan jumlah penyertaan kaum Cina dalam sektor awam semakin kritikal saban tahun.

Menurutnya, syarat lulus bagi subjek tersebut menyebabkan kaum Cina terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi penjawat awam.

“Susulan itu, saya sarankan kerajaan longgarkan sedikit kriteria syarat kelulusan Bahasa Melayu untuk menyertai sektor awam kepada golongan Cina bagi mengatasi perkara ini (kekurangan orang Cina dalam perkhidmatan awam).

Prof Emeritus Datuk Teo Kok Seong turut menyarankan kerajaan agar menghapuskan stigma bahawa kaum Cina yang bekerja dalam kerajaan sukar naik pangkat atau membina kerjaya seperti orang Melayu – Gambar Bernama, 8 Mac, 2024

“Kalau buat begini, bukan bermaksud tidak memartabatkan Bahasa Melayu tetapi supaya matlamatnya tercapai, agar lebih ramai orang Cina sertai perkhidmatan awam pada masa akan datang.

“Ini kerana (sebenarnya) ramai mereka yang berminat, tapi disebabkan ada yang tidak lulus Bahasa Melayu, jadi mereka tak dapat teruskan hasrat itu,” katanya.

Pada masa sama, Kok Seong turut menyarankan kerajaan agar menghapuskan stigma bahawa kaum Cina yang bekerja dalam kerajaan sukar naik pangkat atau membina kerjaya seperti orang Melayu.

“Bagi saya, orang Cina tidak beberapa minat untuk bekerja dalam sektor awam kerana mereka ada persepsi susah naik pangkat. Ini kerana mereka melihat semua ketua-ketua jabatan adalah orang Melayu.

“Jadi, kerajaan perlu yakinkan mereka bahawa ada peluang untuk membina kerjaya dengan menonjolkan lebih ramai orang Cina yang memegang jawatan penting dalam perkhidmatan awam, bukannya tidak ada.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam diadakan berikutan penyertaan kaum itu dalam sektor awam masih rendah – Gambar Facebook, 8 Mac, 2024

“Panggil mereka-mereka ini (orang Cina yang pegang jawatan kanan dalam perkhidmatan awam) untuk berkongsi pengalaman sepanjang berkhidmat dalam sektor ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka Ahad ini.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan penyertaan kaum Cina dalam sektor awam masih rendah.

Sementara itu, pakar ekonomi yang juga bekas penjawat awam, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, kerajaan seharusnya mengkaji semula komposisi kaum dalam perkhidmatan awam agar ia lebih seimbang untuk semua bangsa di negara ini.

Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, kerajaan seharusnya mengkaji semula komposisi kaum dalam perkhidmatan awam agar ia lebih seimbang untuk semua bangsa di negara ini – Gambar Malaysian Institute of Management, 8 Mac, 2024

Jelasnya, langkah itu perlu dilakukan agar semua bangsa dan etnik mendapat peluang sama rata seperti kaum majoriti di Malaysia.

“Kerajaan perlu mengkaji semula populasi bangsa dalam sektor perkhidmatan awam agar ia adil kepada semua rakyat Malaysia. Bukan tidak ada kaum lain yang nak masuk perkhidmatan awam, itu tafsiran yang salah.

“Kebiasaannya, maklum balas yang diterima apabila kaum lain cuba nak ‘apply’ adalah permohonan mereka ditolak. Harapnya kempen ini diadakan dengan melibatkan semua kaum termasuk India dan Bumiputera,” katanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sebelum ini menyatakan kaedah pelantikan penjawat awam adalah telus berdasarkan merit dan kompetensi calon dan bukannya mengikut kuota untuk suatu kaum atau etnik tertentu.

Malah, tiada diskriminasi kaum dalam urusan pengambilan penjawat awam di bawah bidang kuasa SPA. – 8 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related