Usul gubal semula 16 seksyen dalam enakmen kanun jenayah, DUN Kelantan terlampau tergesa-gesa

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah

9:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dilihat terlalu tergesa-gesa mahu menggubal semula 16 seksyen dalam peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan di Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik yang juga peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, pihak terbabit sepatutnya menunggu syor bakal dikemukakan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam terlebih dahulu.

“Mereka ini terlampau tergesa-gesa, sepatutnya tunggulah syor jawatankuasa khas diketuai Tun Zaki Azmi yang ditubuhkan di peringkat pusat.

“Yang nampak sekarang ini mereka seperti tergesa-gesa. Apa yang nak dikejarkan, kalau sekarang ini ada orang yang kena tuduh seksyen sama (seksyen yang sudah dibatalkan) bolehlah nak tergesa-gesa, tapi tidak ada pun.

“Berapa orang yang kena tuduh liwat di Kelantan sekarang atas seksyen yang sama?… tidak ada pun, berapa orang yang kena tuduh bawah seksyen mualamat, riba… tidak ada. Jadi tunggulah dulu, kita pun tidak mahu ini terus dijadikan isu,” katanya.

Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, pihak terbabit sepatutnya menunggu syor bakal dikemukakan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam terlebih dahulu – Gambar fail, 7 Mac, 2024

Pada Rabu, DUN Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 seksyen dalam peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan.

Usul yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Rohimi Wan Daud dipersetujui oleh semua Adun yang bersidang termasuk dua pembangkang.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika meluluskan usul itu berpendapat, ia memenuhi tiga syarat ditetapkan iaitu mustahak, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, isu tersebut bukan hanya melibatkan Kelantan tetapi juga negeri lain, justeru adalah lebih baik sekiranya setiap negeri berbincang dan bersepakat dalam hal berkenaan.

Usul penggubalan semula yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Rohimi Wan Daud dipersetujui oleh semua Adun yang bersidang termasuk dua pembangkang – Gambar Facebook Wan Rohimi Wan Daud, 7 Mac, 2024

“Sekarang ini bukan Kelantan sahaja terlibat, negeri lain juga terlibat. Contohnya, Pahang pun ada lima seksyen sama, Pulau Pinang ada sembilan seksyen sama manakala Kedah ada tujuh.

“Sekarang ini seolah-olah Kelantan nak buat dulu daripada orang lain (gubal semula seksyen yang dibatal). Seolah-olah mahu mendahului dan jadi contoh kepada semua negeri.

“Ketika ini kerajaan negeri yang ada sidang DUN bukan Kelantan sahaja. Kedah dan Selangor pun tengah berlangsung sidang DUN mereka. Tapi tidak adalah nampak ‘gelabah’ mahu buat pindaan seksyen dalam enakmen kesalahan jenayah syariah mereka” katanya.

Beliau berkata, tindakan DUN Kelantan itu juga tidak mencerminkan adanya kesepakatan antara negeri berkaitan isu mahkamah syariah dan undang-undang syariah.

“Jadi kita tunggu dan lihat apa yang mereka (DUN Kelantan) nak gubal dalam seksyen itu. Kita juga kena tunggu apa syor jawatankuasa itu dan keputusan lanjut Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan, Prof Madya Muhammad Fathi Yusof berkata, usul diluluskan itu membolehkan DUN Kelantan mengolah semula peruntukan yang ada agar ditambah baik supaya tidak bercanggah dengan bidang kuasa Persekutuan.

Prof Madya Muhammad Fathi Yusof berkata, tidak timbul isu menghina mahkamah dalam keputusan dibuat DUN Kelantan itu – Gambar fail, 7 Mac, 2024

“Rasanya elok tunggu dan lihat apa yang akan dibuat pihak terbabit (DUN Kelantan), (kemudian) barulah boleh nilai sama ada wujud percanggahan atau tidak (dalam penggubalan semula seksyen),” katanya.

Beliau yang juga Profesor Madya Undang-Undang di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia berkata, selain itu tidak timbul isu menghina mahkamah dalam keputusan dibuat DUN Kelantan itu.

“Tidak timbul soal contempt of court (menghina mahkamah) sebab tak ada apa-apa unsur penghinaan kerana apa yang dibuat (nak digubal semula) adalah sesuatu yang berbeza.

“Mustahil DUN Kelantan nak luluskan peruntukan sama yang telah dibatalkan (Mahkamah Persekutuan) itu sebelum ini. Jadi DUN tetap ada kuasa dan MKI hanya berperanan dari sudut penyelarasan,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (seksyen 16). – 7 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related