Ajaran The Ahmadi bertentangan syariat Islam: Na’im

Sekiranya pihak terbabit menjalankan aktiviti, termasuk mengendalikan video itu di Malaysia, lebih mudah dan cepat tindakan diambil

5:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ajaran dibawa The Ahmadi yang sedang disebar dan dipromosi di media sosial, dengan mengumpul puluhan ribu pengikut setakat ini, jelas bertentangan syariat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan kepada agensi agama, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk monitor ajaran itu.

“Kebetulan saya pun monitor, saya tengok juga semalam, masa dia go live (bersiaran langsung) tu, saya pun sempat tengok…ajaran tersebut memang sangat jelas bertentangan dengan syariat Islam kita.

“Sudah tentu sebagai menteri agama bersama pihak Jakim dan Jawi, kita memandang serius ajaran ini dan tidak mahu generasi anak muda terpengaruh dengan ajaran tersebut,” katanya menerusi video di Facebook.

Beliau berkata, laporan diterimanya memaklumkan, pihak bertanggungjawab di sebalik aktiviti media sosial ajaran agama terbabit, termasuk berhubung penyiaran video secara langsung itu berada di luar negara.

Katanya, sekiranya pihak terbabit menjalankan aktiviti, termasuk mengendalikan video itu di Malaysia, lebih mudah dan cepat tindakan diambil.

Bagaimanapun, Na’im berkata, pihaknya sedang dalam usaha mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bersama-sama melakukan monitor ke atas ajaran terbabit, selain mengambil pendekatan terbaik dalam mengekang ajaran berkenaan.

“Insya-Allah dengan kerjasama mantap antara Jakim, Jawi, MCMC dan PDRM, kita yakin mampu menjelaskan kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran tersebut.

“Kita tidak mahu generasi bakal pemimpin sekarang dan masa akan datang, terpengaruh dengan ajaran tersebut, so tindakan sudah kita ambil,” katanya.

Na’im berkata, beliau mahu aktiviti itu dihentikan dan kandungan mengenai ajaran sesat terbabit tidak terus dipertontonkan kepada masyarakat kerana dibimbangi mempengaruhi orang ramai, terutama golongan muda atau individu yang tidak mempunyai ilmu agama kukuh.

“Saya ada tengok semalam (ada antara) mereka yang faham mengenai agama, dia memang bagi komen agak negatif kepada diaorang (pihak memuatnaik video).

“Tapi ada juga mereka yang mungkin ilmu agama dia agak cetek, dia tidak tahu dan bila mana individu tersebut menyebut kalimah dalam bahasa Arab tertentu, kita bimbang dia ini menyanjung tinggi, dia rasa oh ini mungkin orang agama, jadi dia senang terpengaruh sebab kadang masyarakat bila dengar istilah Arab, dia fikir eh ni tok guru dia kata, itu yang kita tak nak,” katanya. – 7 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related