Nilai ringgit menyusut bukan isu kepada pelabur Australia: PM

Malaysia tetap menerima pelaburan RM24.5 bilion dari Australia dalam situasi ringgit susut nilai

8:22 PM MYT

 

MELBOURNE – Penyusutan nilai mata wang ringgit tidak menjadi isu kepada pelabur Australia malah, mereka kekal berminat untuk melabur di Malaysia kerana yakin dengan asas ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam semua perbincangan beliau dengan pemimpin perniagaan dan eksekutif kanan syarikat Australia yang ditemui beliau ketika mengadakan lawatan rasmi ke negara itu, prestasi ringgit langsung tidak disentuh sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengetahui perkara asas ekonomi lain seperti pasaran saham serta inflasi.

Menjawab soalan yang dilontar mengenai prestasi ringgit semasa pertemuan beliau bersama diaspora Malaysia di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, penyusutan nilai ringgit dikatakan faktor membimbangkan namun ia tidak menjejaskan keyakinan pelabur.

“(Penyusutan nilai ringgit) membimbangkan tetapi tidak merunsingkan,” katanya sambil menambah mata wang ringgit terikat dengan nilai kadar faedah di Amerika Syarikat malah Gabenor Bank Negara Malaysia juga yakin ia akan mengukuh apabila terdapat aliran pelaburan ke negara ini.

“Jika tidak, kita tidak menerima pelaburan RM24.5 bilion dari Australia… (isu) ringgit langsung tidak mengganggu,” katanya merujuk komitmen pelaburan syarikat Australia yang dinyatakan kepada beliau di sini.

Anwar turut menegaskan bahawa pelaburan yang diluluskan di Malaysia pada tahun lepas ialah yang tertinggi dalam sejarah justeru itu, tidak munasabah pencapaian tersebut dilakar jika tiada keyakinan di pihak pelabur.

Beliau berkata, terdapat juga tindakan sementara bagi mengukuhkan ringgit antaranya melalui perdagangan Malaysia dengan China, yang tertinggi dengan kira-kira 25% dagangan adalah dalam mata wang tempatan.

Menurut Anwar, dalam semua perbincangan beliau dengan pemimpin perniagaan dan eksekutif kanan syarikat Australia sepanjang lawatan rasmi ke negara itu, prestasi ringgit langsung tidak disentuh. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 6 Mac, 2024

“Jika kita boleh kembangkan lagi perdagangan dalam mata wang tempatan, ia akan membantu. Saya percaya dengan angka-angka pelaburan sebegini, ringgit akan menguat,” katanya.

Kepada soalan yang dikemukakan oleh seorang pelajar Malaysia di Australia, Perdana Menteri berkata, kebenaran akan diberikan kepada penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam yang telah menamatkan pengajian untuk menimba pengalaman kerja di negara itu.

Anwar berkata, kebenaran itu boleh diberikan kerana beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan.

“Kita izinkan kalau ada peluang dan kesempatan untuk menimba pengalaman di Australia,” katanya.

Beliau turut menggalakkan pelajar Malaysia di Australia berbincang dengan penaja masing-masing untuk mendapatkan kebenaran bagi tujuan itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar berkata, Malaysia mesti berani melakukan perubahan dengan meninggalkan budaya lama untuk menjadikan negara dalam keadaan yang lebih baik pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, perubahan itu bukan hanya perlu dilaksanakan oleh kerajaan dan Jemaah Menteri tetapi juga rakyat.

Beliau berkata, tumpuan ke arah perubahan antaranya ialah membetulkan tatakelola, tadbir urus, menghentikan rasuah dan penyelewangan selain melaksanakan dasar yang jelas bagi meletakkan Malaysia sebagai negara gagah serta hebat.

“Jika perlu (laksana) transisi tenaga… kita buat. Kalau perlu transformasi digital, perubahan dari segi teknologi pertanian (kita buat),” katanya.

Anwar juga berkata, dalam tempoh setahun tiga bulan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, belum muncul satu kes pun yang menyaksikan “Menteri atau Perdana Menteri atau Menteri Kewangan yang berkuasa” cuba merompak kekayaan negara kerana ketegasan kerajaan dalam perkara berkenaan. – 6 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related