KUALA LUMPUR — Polis telah mengambil keterangan daripada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, petang ini.
Bagaimanapun Hadi tidak bertemu media sebaliknya Setiausaha Politik beliau, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pemimpin PAS itu telah memberikan kerjasama kepada polis.
“Tuan Guru (Hadi) sudah selepas beri keterangan. Dua pegawai hadir mengambil keterangan.
“Kita serah kepada Bukit Aman, Tuan Guru pun dah baca kenyataan daripada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution),” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat PAS di sini, hari ini.
Ditanya berapa soalan yang ditanyakan kepada Hadi, Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata pemimpin PAS itu telah ditanya banyak soalan namun enggan mengulas mengenai soalan terbabit.
Mengenai proses selepas ini, Syahir memberitahu pihak Hadi telah bersedia untuk dipanggil memberikan keterangan lagi namun ia tertakluk kepada kesihatannya.
“‘Tuan guru bersedia untuk proses seterusnya, kalau kesihatan beliau mengizinkan.
“Kesihatan beliau (kini) Alhamdulilah baik. Baru-baru ini beliau nak datang ke pembukaan Sidang Dewan Rakyat namun sehari sebelum itu kita rujuk kepada doktor dan dimaklumkan tuan guru belum bersedia untuk perjalanan jauh,’’ katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan ke atas Hadi dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Minggu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden PAS itu pada 20 Februari lalu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan raja-raja Melayu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ab. Halim Tamuri.
Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari 2024. – 5 Mac, 2024