KUALA LUMPUR – Pengurusan tertinggi dan pengetua di semua 55 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sudah diarah menghubungi setiap pelajar yang menerima tawaran ke institusi pendidikan itu, bagi memastikan mereka tidak berdepan sebarang kekangan terutama masalah kewangan untuk masuk ke situ.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, arahan itu sebagai langkah proaktif pihaknya untuk membantu pelajar daripada keluarga susah dan tidak berkemampuan.
“Insya-Allah, pihak Mara melalui Skim Bantuan Pendidikan Mara (Budi) akan membantu pelajar daripada keluarga yang susah.
“Bantuan termasuklah menampung pembayaran yuran persekolahan, pakaian sekolah, barangan keperluan harian, peralatan pembelajaran, tambang perjalanan cuti semesta, pakaian sukan dan barangan keperluan peribadi untuk tinggal di asrama,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, pihaknya sekali lagi ingin mengingatkan supaya mana-mana pelajar tidak menolak tawaran MRSM hanya kerana bimbang tidak mampu membayar yuran atau menanggung pelbagai kos kelengkapan asrama institusi itu.
“Malah, pihak Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga akan membantu pelajar yang susah dan tidak berkemampuan.
“Yang penting jangan jadikan alasan kemiskinan sebagai halangan untuk menuntut ilmu kerana Mara sedia membantu,” katanya.
Asyraf berkata demikian sebagai mengulas kisah diterimanya daripada individu di Facebook beliau mengenai dilema dihadapi seorang anak yatim yang ingin menolak tawaran ke MRSM kerana kesusahan keluarga.
“Salam Dr, saya dapat perkhabaran seorang pelajar anak yatim dapat MRSM Johor Bharu. Mak dia hanya pembantu kedai makan dan terpaksa juga sara seorang lagi anak bermasalah OKU (orang kurang upaya).
“Dia nak tolak tawaran MRSM kerana tak mampu nak sediakan pelbagai kos, termasuk yuran, uniform, peralatan asrama dan lain,” menurut mesej diterima Asyraf yang dikongsikannya. saya terima daripada salah seorang rakan FB.
Sebelum ini, Asyraf berkata, sebanyak 46 peratus pelajar yang sedang mengikuti pengajian di 55 MRSM di seluruh negara adalah golongan berpendapatan rendah (B40).
Manakala, beliau berkata, 30 peratus adalah golongan berpendapatan sederhana (M40) dan 24 peratus berpendapatan tinggi (T20).
Katanya, data terkini direkodkan MRSM itu dikongsikannya susulan terdapat segelintir pihak mendakwa terdapat ibu bapa yang membawa kereta mewah, antaranya BMW dan Vellfire setiap minggu melawat anak mereka di institusi berkenaan.
Situasi itu, katanya, membuatkannya risau, sekali gus meminta Bahagian Pendidikan Menengah (Kementerian Pendidikan Mara) memberikannya data terbabit. – 5 Mac, 2024