PAS nak tanding kerusi Bersatu? Silakan, tiada masalah: Faizal Azumu

Setakat ini PN belum berbincang dalam menentukan siapa dan calon mana yang akan bertanding jika berlaku kekosongan kerusi terlibat

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia membantu PAS jika parti itu mahu bertanding dan meletakkan calon di enam kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi Bersatu.

Namun ia bergantung kepada keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) susulan pindaan perlembagaan Bersatu melibatkan enam ahli Parlimen parti terbabit yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekiranya PAS bertindak sedemikian seperti diperkatakan Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Bersatu akan turun membantu calon daripada PAS itu.

“Akhirnya, itu (jika PAS menang), ia tetap kerusi PN (Perikatan Nasional). Kami bergerak sebagai PN, bukannya Bersatu, bukannya PAS atau Gerakan.

“Kalau apa yang dia (Mohd. Amar) maksudnya iaitu PAS bersedia (letak calon), dan PN arah letak calon PAS, kita bersedia. Kalau Bersatu bertanding pun, PAS akan sedia membantu. Tiada masalah,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, dalam mendepani isu melibatkan enam kerusi Parlimen terbabit, pendekatan PN dan Umno adalah jauh berbeza.

Kata Faizal Azumu, pendekatan PN dan Umno berbeza. Menurutnya, Umno menganggap PKR, Amanah dan DAP tiada calon yang layak dan parti-parti itu akan mengikut telunjuk Umno – Azim Rahman/Scoop, 4 Mac, 2024

“Umno kata dah sedia bertanding. Mereka beranggapan, PKR, Amanah dan DAP tiada calon yang layak. Mereka yakin PKR, Amanah dan DAP akan ikut telunjuk mereka kerana mereka ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tentulah PKR, Amanah, DAP akan ikut telunjuk, sebab itulah Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yakin,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini PN belum berbincang dalam menentukan siapa dan calon mana yang akan bertanding jika berlaku kekosongan kerusi terlibat.

“Saya percaya semua parti (dalam PN) akan turut sokong, bekerja untuk kepentingan PN.

“Ini kerana dalam PN, cuma ada calon iaitu PN, bukan Bersatu dan bukannya calon PAS,” tambahnya.

Terdahulu Mohd. Amar berkata, PAS sedia bertanding dan meletakkan calon sekiranya berlaku kekosongan kerusi oleh ahli Parlimen daripada Bersatu susulan pindaan perlembagaan parti itu.

Menurutnya, perkara tersebut perlu menunggu keputusan daripada RoS berkait dengan pindaan tersebut.

Baru-baru ini, usul bagi meminda perlembagaan Bersatu untuk melarang ahlinya daripada menyatakan sokongan kepada parti lawan telah mendapat sokongan.

Baru-baru ini, usul bagi meminda perlembagaan Bersatu untuk melarang ahlinya daripada menyatakan sokongan kepada parti lawan telah mendapat sokongan – Gambar Bernama, 4 Mac, 2024

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka yang didapati bersalah mengkhianati parti bukan sahaja akan kehilangan keanggotaan malah perlu mengosongkan kerusi Parlimen mereka.

Langkah ini akan menyaksikan kerusi enam ahli Parlimen akan dikosongkan sekiranya mereka memilih untuk terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, pindaan itu selari dengan Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan dan juga bagi membolehkan penggunaan undang-undang antilompat parti.

Walau bagaimanapun enam Ahli Parlimen Bersatu menegaskan mereka hanya akan mengosongkan kerusi disandang sekiranya diarahkan oleh Speaker Dewan Rakyat atau melalui perintah mahkamah.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, isu terbabit akan memakan masa yang panjang berikutan Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu baharu dibuat selain memerlukan kelulusan daripada RoS.

Selain Syed Abu Husin, lima lagi ahli Parlimen bertindak menyokong Perdana Menteri ialah Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – 4 Mac, 2024

Topics

Hangat

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Private sector in the dark over govt’s drug decriminalisation plans, say experts

Health professionals urge broader engagement with relevant stakeholders ahead of reforms to decriminalise drug use to ensure effective implementation of initiative

Related