Kos sara hidup tinggi punca peningkatan kes perceraian di Selangor

Peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi dan sosial pasangan

2:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kos sara hidup yang tinggi berbanding negeri lain menjadi punca utama peningkatan kes perceraian di Selangor.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup itu mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi dan sosial pasangan.

“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka mereka perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.

“Disebabkan kesibukan bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) mengenai faktor yang mendorong kepada peningkatan kes perceraian di Selangor berbanding negeri lain pada 2023.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata, pembangunan pesat dan migrasi penduduk dari luar Selangor yang datang bekerja di Lembah Klang, turut menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di negeri itu.

“Penduduk luar yang bernikah di luar Selangor dan kemudian bekerja serta bermastautin di sini, sudah tentunya mendaftarkan penceraian mereka di Selangor.

“Ini kerana masalah berkaitan institusi kekeluargaan seperti perceraian perlu didaftarkan dan diselesaikan berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mencadangkan agar satu kajian yang menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi untuk mengenal pasti punca sebenar kes perceraian di negeri itu.

Katanya, kajian itu, boleh digunakan oleh kerajaan negeri atau agensi berkaitan dalam membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memperkasakan kursus pasca perkahwinan bagi memastikan fokus diberikan kepada empat modul sedia ada yang ditawarkan.

Katanya, pemerkasaan itu perlu dilakukan untuk mengubah kefahaman perkahwinan bukanlah untuk meredakan gelora cinta ataupun terpaksa atas desakan keluarga.

“Ia harus difahami sebagai suatu tanggungjawab yang berat dan mempunyai implikasi besar seandainya perkahwinan itu diakhiri,” katanya.

Untuk rekod, kursus pasca perkahwinan yang ditawarkan Jais membabitkan empat modul iaitu fasa bulan madu bagi pasangan berkahwin antara setahun hingga lima tahun, fasa semarak kasih (6 hingga 10 tahun), sehati sejiwa (11 hingga 20 tahun) dan syurga cinta (21 tahun ke atas). – 4 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related