KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, petang esok, berhubung kenyataan pemimpin itu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan Hadi akan dirakam di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut pada pukul 2.30 petang.
“Pegawai khas kepada pemimpin itu memaklumkan keadaan kesihatannya kepada polis dan menetapkan keterangan diambil esok,” katanya selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi Perkep JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim, Pulapol dekat sini hari ini.
Razarudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Minggu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden PAS itu pada 20 Februari lalu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ yang ditujukan kepada alim ulamak, peguam, hakim, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan raja-raja Melayu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ab. Halim Tamuri.
Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari 2024.
Kenyataan sinis Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada raja-raja Melayu.
Hadi dalam artikel diterbitkan pada 20 Februari lalu mengingatkan ‘penganut Islam menjaga dan mempertahan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk ahli Parlimen dan ADUN, bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja’.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan digubal penjajah menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sesekali memberikan kuasa kepada Islam. – 4 Mac, 2024