Selangor peruntuk lebih RM7 juta perkasa ekonomi orang Melayu, ‘era cipta taikun kaya cara singkat sudah berakhir’

Amirudin berkata, kapitalisme kroni harus dihentikan demi memperkasakan ekonomi orang Melayu di negeri itu

12:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan memperuntukkan dana sebanyak RM7,779,152 untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dana itu meningkat berbanding jumlah peruntukan sebanyak RM1,119, 339.21 yang dibelanjakan pada 2022 dan RM6,440,830.34 pada tahun lalu.

“Era kita mencipta taikun-taikun kaya dengan cara singkat sudah berakhir. Demi memperkasakan ekonomi orang Melayu, kita seharusnya menghentikan ekonomi yang tidak mencipta nilai (rent seeking) atau kapitalisme kroni.

“Demi pemerkasaan ekonomi orang Melayu, orang Melayu mestilah berkemampuan bersaing di arena domestik mahupun antarabangsa. Oleh kerana itu, kita bercita-cita besar mewujudkan pengusaha serta usahawan yang mahu maju ke hadapan.

“Sebagai contohnya program Ikon Agro, Ekspo Usahawan Selangor (SelBiz) dan program-program Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Muhaimin Harith Abdullah Sani yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang mencapai hampir 71% populasi keseluruhan penduduk di Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang Melayu sebagai penduduk majoriti di negeri itu turut menikmati pengagihan kekayaan serta manfaat tertinggi, terutamanya menerusi Inisiatif Selangor Penyayang.

Jelas beliau, misalnya program Mama Kerja yang bertujuan bukan sahaja meringankan beban kaum hawa bekerjaya, tetapi akan meningkatkan pendapatan boleh guna yang boleh digunakan untuk meningkatkan pula mutu kehidupan mereka dan keluarga.

Menurutnya, ia sekali gus mencipta ekonomi sebelah penawaran (supply side economy) serta ekosistem penjagaan anak-anak yang bermutu dan berkualiti.

“Selain itu, kita juga ada program BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor), bagi mengiktiraf peranan penting ketua keluarga yang tidak mengenal penat lelah untuk mengurus hal ehwal keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anak sewaktu mengharungi pasca pandemik.

“Program ini meluaskan capaian dan menambahbaik Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja golongan ibu tetapi juga anggota keseluruhan keluarga,” katanya.

Tambahnya, program itu turut mensasarkan sebanyak 30,000 keluarga dengan bantuan RM 300 setiap bulan bagi pembelian barangan keperluan asas serta peralatan pendidikan.

“Program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan supply side of the economy, ia juga membantu penggunaan domestik serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat Selangor terutamanya orang Melayu.

“Oleh itu, kita memerlukan fikiran serta pemahaman yang syumul mengenai ekonomi ini,” katanya. – 4 Mac 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Related