KUALA LUMPUR – Hukum mencium Hajar Aswad adalah haram sekiranya tindakan itu menyebabkan masalah, kesakitan dan bahaya kepada diri sendiri serta orang sekeliling.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia memandangkan umrah adalah ibadah, bukan pelancongan ‘kerohanian’.
“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.
“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram,” katanya menerusi Twitter.
Beliau berkata, agak janggal apabila ibadah suci dan mulia itu, dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video serta gambar bukan pada masanya.
UMRAH ADALAH IBADAH, BUKAN PELANCONGAN “KEROHANIAN”
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) March 3, 2024
1. Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat.
2. Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kpd diri sendiri dan…
“Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial.
“Jika ia hanya sekadar ‘trend’ untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah ‘trend’ yang merugikan itu,” katanya.
Zulkifli berkata, sewajarnya di hadapan Kaabah, jemaah sepatutnya memikirkan dosa sendiri dan memohon keampunan daripada Allah SWT, termasuk berdoa kepadaNya.
“Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan masa untuk mencipta content (kandungan),” katanya.
Manakala, ketika menjawab persoalan seorang netizen di media sosialnya itu sama ada melakukan ‘flying kiss’ dari jauh sahaja sudah dikira mencium Hajar Aswad, Zulkifli mengiyakannya.
“Itu sudah memadai jika terhalang sebab kesesakan melampau, katanya.
Terdahulu, tindakan seorang usahawan dan pempengaruh media sosial seperti ‘bergelut’ dengan jemaah dari negara lain, semata-mata bagi membolehkan ahli pasukan dari syarikatnya mencium Hajar Aswad mendapat kritikan ramai.
Rata-rata mereka mempertikaikan dan mengecam tindakan itu yang dianggap melampau kerana cuba menghalang jemaah lain selain daripada pasukannya mencium Hajar Aswad.
Malah, dia juga dilihat bersungguh-sungguh untuk ‘mengawal’ laluan ke Hajar Aswad bagi memberi peluang kepada ahli pasukannya mencium batu itu, sehingga ihramnya terbuka dan menampakkan separuh badan.
“Tak, siapa dia nak halang orang lain cium,” kata seorang netizen.
“Perlu ke sampai macam ni,” soal Kary.
“Cium Hajar Aswad bukan wajib, aku masa pergi haji tahun lepas, 40 hari kat sana memang tak sempat tapi aku tak kisah sebab malas nak berebut, bersesak,” ujar Asim Abdullah.
“Jangan push tapi dia tak sedar ke dia push orang lain,” komen netizen lain.
“Dah macam rusuhan pula dekat tempat suci,” ujar Alin.
“Ini ajaran Islam ke sampai macam ni sekali,” kata seorang pengguna.
“Saya pun tak dapat, sebab dah terlalu bersesak, anggap belum rezeki, insya-Allah bila sampai rezeki saya, akan mudah dan cantik jalannya,” kongsi Umairah.
Segelintir netizen pula mempersoalkan tindakan merakam dan memuatnaik situasi itu di media sosial, seolah-olah ia sengaja ingin dijadikan kandungan.
“Macam mana eh terfikir pergi sana buat content (kandungan),” kata seorang individu.
“Segalanya content,” ujar seorang pengguna.
“Buat content nak cium batu (Hajar Aswad) lepas tu macam ihram dia kena tarik, tapi dia still nak up video dia, cut la part terbogel separuh tu,” komen KukkieCats.
Menerusi video berkenaan, usahawan terbabit menceritakan dia bertindak seperti itu susulan ahli pasukannya meluahkan hasrat dan keterujaan untuk mencium Hajar Aswad.
“Batu Hajar Aswad, berjuta orang datang ke sini, teringin nak cium tapi cabarannya tak mudah, dari dulu kalau saya datang umrah, saya akan cium batu Hajar Aswad.
“Sebab saya selalu relate (kaitkan) dengan kehidupan ibarat semua orang menuju ke satu tempat untuk berjaya, tapi ada orang guna cara baik dan ada orang menuju dengan cara tak baik…,” katanya. – 4 Mac, 2024