KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan akan memperincikan pelaksanaan Skim Perumahan Madani dalam projek perumahan di tanah rizab Melayu di sekitar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perincian itu sebagai menyokong penuh dan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan aspirasi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Aspirasi itu adalah sebagai usaha memperkasa pembangunan dan kemajuan Bumiputera, khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Pelaksanaan projek dan inisiatif di bawah penyeliaan Jabatan Wilayah Persekutuan bersama-sama agensi yang terlibat, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan akan dipadankan dengan tiga isbat Kongres Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
“Tiga isbat ini adalah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tata kelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
“Melalui isbat ini, golongan bumiputera, khususnya di Wilayah Persekutuan akan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi ke landasan lebih baik dalam mendepani cabaran dan peluang masa hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan juga akan menjalinkan kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk melatih seberapa ramai pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan golongan miskin tegar, khususnya bumiputera yang pada akhirnya, mereka akan menerima tawaran pekerjaan sesuai dengan kemahiran mereka, seperti dihasratkan Perdana Menteri.
“Inisiatif berkenaan akan dipadankan di bawah Program Usaha Jaya Insan (Puji) melalui inisiatif Upaya @ Puji, khususnya dalam usaha menyediakan exit program kepada golongan rentan ini,” katanya.
Dr Zaliha berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan juga akan memudah cara mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam merealisasikan isbat dan inisiatif digariskan Perdana Menteri, jika berkaitan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Ia bersesuai dengan pendekatan whole of nation (menyeluruh) yang digariskan di dalam Pelan Tindakan Hala Tuju Wilayah Persekutuan.
“Jabatan Wilayah Persekutuan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang mengumumkan kepelbagaian dana dan inisiatif bagi pembinaan dan penzahiran bumiputera, khususnya di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan serta berikrar akan mendukung aspirasi Kongres Ekonomi Bumiputera ini,” katanya. – 3 Mac, 2024