Tidak mudah PRK diadakan, 6 Ahli Parlimen Bersatu boleh cabar kes di mahkamah

Sekalipun RoS meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu, ia tetap bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengarahkan pengosongan kerusi tertentu selepas merujuk kepada SPR

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyat Bersatu yang mengalih sokongan kepada Perdana Menteri tidak mudah untuk diadakan susulan pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti itu kelmarin.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, proses itu akan memakan masa yang panjang termasuk semakan kehakiman yang pastinya akan dibuat pihak berkaitan, sekiranya pindaan itu diluluskan atau ditolak Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurut beliau, jika permohonan Bersatu diluluskan RoS, ia juga bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat bagi arahan pengosongan kerusi tertentu yang mana beliau juga perlu merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, dalam proses itu juga, enam Ahli Parlimen terbabit boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah dengan memohon semakan kehakiman.

“Masih ada beberapa perkara yang perlu dipertimbang dan kemungkinan besar PRK lambat lagi. Kalau proses berjalan memakan masa dua tahun lagi, dah tidak boleh dibuat PRK. Jadi kesimpulannya tidak semudah itu untuk buat PRK.

“Ada beberapa pertimbangan daripada sudut perundangan, mungkin akan membabitkan beberapa aspek teknikal. Pertama, adakah RoS akan luluskan atau berapa lama tempoh untuk RoS luluskan. Keputusan RoS juga tidak semestinya akan cepat, sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih selepas permohonan dibuat Bersatu.

“Dan kalau RoS luluskan pun, enam Ahli Parlimen ini boleh cabar di mahkamah, mohon semakan kehakiman dan akan ada proses perbicaraan. Begitu juga sekiranya permohonan ditolak RoS, pastinya Bersatu juga akan mohon semakan kehakiman,” katanya hari ini.

Profesor Madya Mazlan Ali berpendapat, jika RoS meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu sekali pun, ia tetap bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat bagi arahan pengosongan kerusi tertentu dan perlu dirujuk dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. – Gambar Bernama, 4 Mac, 2024

Terdahulu, media melaporkan, Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika mereka kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, enam Ahli Parlimen terbabit boleh membuat semakan kehakiman atas alasan pindaan perlembagaan parti dibuat selepas mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Ada satu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang melindungi keputusan sebelumnya, contohnya enam Ahli Parlimen ini mengalih sokongan sebelum pindaan perlembagaan parti dibuat. Adakah pindaan itu terpakai secara retrospektif (kebelakang) sebab mereka dah lama nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Kalau RoS luluskan permohonan pindaan itu, enam orang Ahli Parlimen ini sepatutnya tidak terlibat kerana sokongan dibuat sebelum itu.

“Kelulusan RoS mesti bergantung kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu dan ia mestilah sama kesan dan natijahnya dengan perlembagaan parti-parti lain yang sudah pun membuat pindaan berhubung perkara itu,” katanya.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu yang dipengerusikan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin meluluskan pindaan perlembagaan susulan tindakan enam Ahli Parlimen mereka beralih sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Azim Rahman/Scoop, 4 Mac, 2024

Selain itu, beliau berkata, pindaan perlembagaan Bersatu itu hanya terpakai kepada Ahli Parlimen yang akan mengalih sokongan mereka selepas ini.

“Dalam masa terdekat ini, saya rasa tidak ada Ahli Parlimen Bersatu yang akan mengalih sokongan. Mereka akan tunggu dan lihat apa yang akan berlaku kepada enam Ahli Parlimen ini.

“Kalau enam Ahli Parlimen itu terlepas, termasuk jika kes dibawa ke mahkamah, yang lain ini akan lari, cuma agak terlambat sebab sepatutnya kalau nak (lari) sebelum pindaan itu.

“Kalau mereka buat juga, (memang) betul-betul kamikaze lah… betul-betul berani,” katanya.

Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, mengikut Akta Anti Lompat Parti, ia tidak menyatakan apa akan terjadi jika keahlian wakil rakyat itu dibuang daripada parti.

“Hanya dinyatakan jikalau wakil rakyat itu mengambil pendirian untuk keluar parti maka secara automatik, kerusinya hilang.

“Tapi kalau dibuang dari parti, akta lompat parti ini dikatakan ‘silence’ senyap dalam perkara ini, dan boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, memgambil contoh Singapura, akta lompat parti republik itu menyatakan jikalau wakil rakyat dibuang daripada parti atas apa jua sebab, maka secara automatik hilang status wakil rakyat.

“Tapi akta lompat parti di negara ini tidak menyatakan sebegitu. Jadi dalam hal ini, bagi saya tidak ada masalah kalau hilang kelayakan ahli Bersatu bagi enam Ahli Parlimen itu.

“Ia tidak memberi risiko yang tinggi kepada enam Ahli Parlimen itu sekiranya RoS memutuskan meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu,” katanya.

Akta Anti Lompat Parti tidak menyatakan apa akan terjadi jika keahlian wakil rakyat dibuang oleh parti kerana ia hanya menyebut andai mereka mengambil pendirian keluar parti maka secara automatik, kerusinya hilang, kata Profesor Madya Azmi Hassan. – Gambar Bernama, 4 Mac, 2024

Semalam, Scoop melaporkan enam Ahli Parlimen Bersatu menegaskan mereka hanya akan mengosongkan kerusi disandang sekiranya diarahkan oleh Speaker Dewan Rakyat atau melalui perintah mahkamah.

Mereka juga memaklumkan tidak akan mengosongkan kerusi dan berpendirian untuk terus kekal menyokong pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam MP terbabit ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal Syed Abu Hussin; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – 4 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related