KUALA LUMPUR – Kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat dua kali ganda daripada 17,668 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peningkatan sebanyak 95.2% itu amat membimbangkan dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, pengenalan teknologi canggih hari ini, termasuk kecerdasan buatan (AI), Pengkomputeran Kuantum, realiti diperkukuh (AR) akan memberi cabaran yang lebih hebat dalam memerangi taktik jenayah khususnya jenayah dalam talian.
“Malah pada waktu ini, perkembangan pesat yang berbentuk exponential dan acceleration telah menimbulkan pelbagai aplikasi seperti Sora yang mampu menjelmakan imej video daripada teks yang ditulis. Aplikasi ejen yang mampu melaksanakan segala urusan online peribadi seseorang secara 24/7 dan lain-lain lagi.
“Saintis AI kini menjangkakan acceleration tahun ini akan menjadi pendorong kepada kemunculan Kecerdasan Umum Buatan (AGI) seawal 2027, yang mana keupayaan komputer dan peisiannya akan menyamai atau melebihi kecerdasan manusia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Semakmule 2.0 di sini, hari ini.
Mendepani cabaran ini, beliau berkata, JSJK membangunkan portal Semakmule 2.0 yang berperanan sebagai medium perkongsian maklumat dengan masyarakat khususnya dalam aspek pencegahan jenayah.

Katanya, portal tersebut dibangunkan secara ‘inhouse’ pada 2018 dan dilancarkan pada 2020 untuk menyediakan kemudahan kepada orang ramai mengenai pengesahan status akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terlibat dengan kegiatan penipuan.
“Sehingga kini sejumlah 193,000 akaun bank dan 164,000 nombor telefon scammer disenaraikan dalam portal ini.
“Pengesahan status akaun bank dan nombor telefon boleh digunakan untuk mempertimbangkan tahap keselamatan urusan pemindahan atau pembayaran yang ingin dilakukan,” katanya.
“Ini bermakna lebih 190,000 akaun bank disalahgunakan sebagai keldai akaun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan portal tersebut juga dimanfaatkan institusi kewangan dan polis negara jiran bagi membantu siasatan dilaksanakan mereka.
“Malah keberkesanan ini mendapat pengiktirafan pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) melalui anugerah inovasi perdana sektor awam pada November tahun lalu.
“Sejak dilancarkan, sejumlah 24,962,197 pelawat telah melayari portal ini, dan 20,469,861 carian telah dibuat melaluinya,” katanya.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,912,120 carian adalah positif.
“Saya yakin melalui carian yang mempaparkan hasil positif, pindahan wang ke akaun sindiket penipuan berjaya dielakkan, sekali gus menyelamatkan wang mangsa,” katanya. – 3 Mac 2024