KWSP umum dividen konvensional 5.50%, syariah 5.40%

Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 2022, yang mana dividen bagi simpanan konvensional adalah sebanyak 5.35% manakala 4.75% bagi simpanan syariah

10:57 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 5.50% bagi simpanan konvensional dan 5.40% untuk simpanan syariah bagi tahun 2023.

Ini bermakna jumlah pembayaran sebanyak RM57.81 bilion untuk 2023.

Ia lebih tinggi berbanding 2022, yang mana dividen bagi simpanan konvensional sebanyak 5.35% manakala 4.75% bagi simpanan syariah.

Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn pada taklimat prestasi kewangan KWSP, hari ini.

Beliau berkata, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion untuk tahun berakhir 31 Disember 2023, meningkat 33% berbanding RM36.04 bilion pada 2022.

“Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.

“Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.

“Adalah menjadi amalan berhemat KWSP membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata, aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, naik 13% berbanding RM1,002.67 bilion pada tahun 2022.

“Peningkatan itu merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15% berbanding RM84.78 bilion pada 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi simpanan konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk simpanan Syariah pada asas tiga tahun (2021-2023), melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2 peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau, serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.

“Alhamdulillah, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan.

“Tahun 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global, terutamanya antara ASEAN berbanding pasaran maju.

“Walaupun Indeks penanda aras ekuiti pasaran maju menyaksikan pertumbuhan positif, kedua-dua indeks FBM KLCI dan ASEAN menyaksikan pertumbuhan negatif dengan FBM KLCI merosot sebanyak 2.7 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Badri berkata, gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif membolehkan KWSP mencapai keputusan yang baik bagi 2023.

Katanya, berhadapan dengan pasaran global yang mencabar, pendekatan pelaburan KWSP yang berdaya tahan dan fokus terhadap memberikan nilai jangka panjang seharusnya membolehkan ia terus memberikan prestasi yang kukuh di samping dapat mengekalkan komitmen kepada ahlinya. – 3 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related