PUTRAJAYA — Segala hasil dapatan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang melabuhkan tirainya semalam, bukan titik akhir penyelesaian segala permasalahan bumiputera sebaliknya ia adalah langkah yang perlu dilakukan walaupun jalannya panjang, sukar serta berliku.
Menurut Pengerusi Kluster Pembangunan Desa, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, antara yang perlu dilakukan kerajaan ialah membawa masuk pelaburan dan industri berprofil tinggi ke kawasan luar bandar bagi membantu memperkasakan ekonomi bumiputera.
Ia amat penting untuk menarik industri berkemahiran sederhana dan tinggi dalam memartabatkan agenda bumiputera.

“Saya ambil contoh mudah seperti di Korea Selatan, ada Samsung City, Hyundai Town, sama juga pembuatan (kereta) Ferrari. Saya dimaklumkan bukan di Milan (Itali) tapi beratus batu jauhnya dari Milan.
“Kenapa kita di Malaysia tidak bawa industri berat atau sederhana ini ke luar bandar? Itulah harapan agar luar bandar lebih mampan dan maju kerana 81% penduduk luar bandar adalah bumiputera,’’ katanya.
Menurut Md Alwi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu memperbanyakkan program kampung angkat seperti dilaksanakan Petronas.
Sementara itu, Pengerusi Kluster Penguasaan Teknologi Baharu, Profesor Tan Sri Mazlan Othman berkata, kerajaan dicadang memperluaskan program pelesenan yang sesuai untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam penggunaan dan eksplorasi secara lestari sumber asli negara.
Ini kerana, katanya, tidak seharusnya sumber biodiversiti yang dimiliki negara disimpan begitu sahaja.

“Tidak semestinya sumber asli itu kita simpan dan tidak berbuat apa-apa kerana ada cara untuk mengguna dan mengeksplorasikan secara lestari termasuk perlindungan, pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti serta sumber asli,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kluster Sosioekonomi Bumiputera Sabah, Profesor Madya Datuk Ramzah Dambul pula berkata, infrastruktur asas di Sabah perlu diselesaikan terlebih dahulu jika kerajaan mahu agenda ekonomi bumiputera di negeri ini diperkasakan.
“Masalah paling besar ialah infrastruktur sebab 75% penduduk bumiputera Sabah berada di luar bandar, jadi ia sangat kritikal.
“Kita bagilah banyak intervensi atau aktiviti ekonomi, umpamanya ternak ayam telur. Ia akhirnya tidak dapat dipasarkan kerana kos mengangkut telur ke pasar lebih tinggi dari harga telur itu sendiri,’’ katanya.

Lebih 80 resolusi agenda pemerkasaan bumiputera digariskan sepanjang tiga hari KEB 2024 diadakan.
Resolusi itu diperoleh hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.
Antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu menetapkan satu badan organisasi untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (Main).
Selain itu, bagi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, antara yang digariskan ialah mengenai pengukuhan system Pendidikan Islam, memperkukuhkan Pendidikan awal kanak-kanak serta menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (Stem).
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis penutup kongres itu semalam berkata, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta orang terutama dalam kalangan anak muda.
Beliau juga memaklumkan kerajaan bersetuju mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun. – 3 Mac, 2024