KUALA LUMPUR — Seorang lelaki warga asing telah ditahan selepas disyaki mencabul rakan sekerjanya yang berusia 32 tahun, ketika sedang bekerja di sebuah premis pasar raya di bahagian stor simpanan sejuk beku di ibu kota, semalam.
Berikutan itu, suspek, yang berumur 27 tahun dan bertugas sebagai pembantu jualan di premis yang terletak di Jalan Taman Permata, Ampang itu, telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Menurut polis, perintah tahanan reman itu dibuat di Mahkamah Ampang.
Polis berkata, dalam kejadian itu, wanita berkenaan memaklumkan suspek telah menghampirinya lalu bertanyakan mengenai berat badannya sebelum bertindak memeluknya dari belakang.
“Ketika kejadian pada 4.45 petang itu, mangsa telah habis waktu bekerja dan mendakwa suspek telah mengangkat, mencium serta meraba dan cuba mencium mulutnya.
“Lelaki itu telah ditangkap semalam dan hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jurucakap polis memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan merujuk kepada menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.
Menurutnya, berdasarkan seksyen berkenaan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
“Sehubungan itu, polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan melakukan pencabulan kepada orang lain,’’ katanya. – 2 Mac, 2024