Abim pandang berat titah, peringatan Sultan Selangor, gesa masyarakat jauhi pemikiran khawarij

Pihaknya berpendirian bahawa tindakan mempolitikkan isu agama adalah bersifat jadong, jahat, bodoh sombong dan harus dihentikan serta-merta

12:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat pandangan dikemukakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda yang menzahirkan dukacita dengan satu kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ia termasuk titah Sultan Sharafuddin agar ahli dan pemimpin politik, tidak memperalatkan Islam dan mencemari kesucian agama ini demi kepentingan politik kepartian masing-masing.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, Abim menilai peringatan itu bertepatan dengan peranan baginda sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang berperanan secara proaktif untuk menyelesaikan pelbagai kontroversi sedang membayangi urusan pentadbiran hal ehwal Islam selama ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin. – Gambar Bernama, 2 Mac, 2024

“Abim menegaskan kedudukan serta peranan Islam sebagai agama Persekutuan, tidak wajar dipertikaikan kerana ia jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Abim juga berpendirian sebarang tindakan mempolitikkan perkara ini adalah bersifat jadong, jahat, bodoh sombong dan harus dihentikan serta-merta,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, Ahmad Fahmi berkata, Abim menggesa semua pihak, khususnya umat Islam menekuni titah Sultan Selangor pada MKI berkenaan dan seterusnya, memainkan peranan sebaik mungkin secara kolektif dalam menjayakan segala usaha memelihara serta memartabatkan Islam.

Malah, Abim mengingatkan bahawa segala pandangan berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini, perlu menghormati kerangka asas sedia ada untuk mengelakkan sebarang polemik.

Katanya, Abim sentiasa meyakini kewibawaan Majlis Raja-Raja, khususnya melalui MKI yang dipimpin Sultan Selangor dalam mengangkat martabat Islam dan mencari penyelesaian terbaik berhubung isu yang berlaku.

“Hal ini demikian kerana sebarang polemik akan menjejaskan keharmonian dalam kalangan umat Islam akibat kekeliruan yang berlaku kerana ingin meningkatkan populariti politik,” katanya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita dengan kenyataan Hadi bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu yang ditujukan kepada alim ulamak, peguam, hakim, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Raja-Raja Melayu.

Susulan kenyataan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ab Halim Tamuri.

Antara intipati surat berkenaan adalah baginda menyifatkan Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari 2024.

Kenyataan sinis Hadi itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja Melayu yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata, dianggap amat tidak bersesuaian.

Ia juga disifatkan sangat tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Menerusi artikel diterbitkan itu, Hadi mengingatkan umat Islam menjaga dan mempertahan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang serta semua terlibat dengannya dalam kalangan hakim dan peguam, termasuk ahli Parlimen serta Adun, bahkan Raja-Raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana dengan memandang ke akhirat, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan digubal penjajah menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sesekali memberi kuasa kepada Islam. – 2 Mac, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Punk venue Rumah Api faces relocation amid financial struggles, festival fallout

After eight years of operating on the top floor of Menara MPAJ in Ampang Jaya, local punk music venue Rumah Api will be relocating later this year due to increased rental and related arrears that accumulated during the Covid-19 pandemic.

Related