KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa respon diberikannya berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan dukacita dengan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang, ditokok tambah wartawan tertentu sehingga ia membawa maksud salah dan berbeza.
Menurutnya, ketika dihubungi petugas media terbabit, beliau tidak pernah menyebut ayat ‘Pas tidak wajar dilibatkan dalam polemik itu memandangkan kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Marang terbabit adalah pandangan peribadi, selain tidak merujuk pendirian parti secara keseluruhan.
Beliau berkata, apa dinyatakannya adalah meminta perkara itu dirujuk ke Pejabat Presiden kerana titah Sultan Selangor ditujukan khusus kepada Hadi.
“Tidak berbangkit ia pandangan peribadi atau tidak, mahupun PAS wajar dilibatkan atau tidak,” katana menerusi Facebook.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pair Mas berkata, sikap ‘menambah ayat sendiri’ dilakukan segelintir pengamal media membuatkan dia kurang gemar memberikan komen menerusi panggilan telefon.
“Di antara sebab saya malas layan panggilan wartawan ialah apabila kita memberikan jawapan, sebahagian wartawan suka menambah dengan ‘ayat sendiri’.
“Kenyataan bertulis lebih selamat untuk wartawan seperti ini,” katanya menerusi Facebook.
Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Hadi bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu yang ditujukan kepada alim ulamak, peguam, hakim, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Raja-Raja Melayu.
Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ab Halim Tamuri.
Antara intipati surat berkenaan adalah baginda menyifatkan Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari 2024.
Kenyataan sinis Hadi itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja Melayu yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata, dianggap amat tidak bersesuaian.
Ia juga disifatkan sangat tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Raja-Raja Melayu.
Menerusi artikel diterbitkan itu, Hadi mengingatkan umat Islam menjaga dan mempertahan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang serta semua terlibat dengannya dalam kalangan hakim dan peguam, termasuk ahli Parlimen serta Adun, bahkan Raja-Raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana dengan memandang ke akhirat, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan digubal penjajah menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sesekali memberikan kuasa kepada Islam.
Susulan kenyataanya itu, satu siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Hadi.
Perkata itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Scoop semalam.
Katanya, siasatan terhadap Hadi dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 2 Mac, 2024