KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 17 kenderaan khas atau Special Purpose Vehicle (SPV) yang dilengkapi sistem teknologi tinggi dan akan digunakan untuk membawa Orang Kena Tahan (OKT).
SPV itu dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan daripada segi pengiringan OKT ke mahkamah selain dilengkapi sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dengan sistem kamera 360 darjah.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPV jenama Weststar Maxus V80 itu merupakan kenderaan pertama digunakan oleh agensi terbabit.
“SPV ini dihasilkan dalam tempoh tiga bulan bertujuan membawa OKT.
“Sistem CCTV terbabit boleh dipantau secara terus dari ibu pejabat walaupun kenderaan itu berada di negeri dan turut dilengkapi dengan alat sistem pengesan global (GPS) sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap kenderaan itu.
“Teknologi lain yang terdapat pada SPV itu ialah sistem komunikasi berpusat, walkie-talkie dan tayar gerak kempis,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azam berkata, sebanyak 14 SPV yang diterima akan diserahkan kepada setiap negeri dan dua lagi akan ditempatkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.
“Sebuah lagi akan diserahkan kepada kepada Bahagian Keselamatan bagi kegunaan Cawangan Persenjataan bertujuan pengangkutan senjata dan peralatan berkaitan,’’ katanya.
Menerusi pengagihan SPV ini, Azam berkata ia membantu menyelesaikan masalah kekurangan kenderaan yang sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan membawa OKT ke mahkamah. – 1 Mac, 2024