KUALA LUMPUR – Taasub agama serta berpegang teguh pada pandangan salah merupakan antara jenis taasub yang berbahaya, yang mungkin boleh ‘merosakkan’ masyarakat sekiranya ia tidak dirawat segera.
Bercakap kepada Scoop, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, seseorang yang terlalu taasub akan terus berdegil dengan pandangan mereka malah berusaha untuk menyebarkan dakyah salah kepada orang ramai.
“Taasub boleh diperhatikan wujud dalam dua keadaan, sama ada pro (taasub yang baik) atau kontra (taasub yang membawa kemudaratan).
“Taasub agama (membuta tuli) adalah antara jenis taasub yang amat berbahaya. Ia boleh dianggap sejenis pesakit psikologi yang sering menimbulkan kucar-kacir dalam masyarakat dan menggugat keamanan negara.
“Ia menjadikan seseorang itu terlalu berpegang teguh dengan pandangan yang salah malah berusaha menyebarkannya pula kepada orang lain, pentaasub ini merupakan mereka yang tidak bersedia untuk pandangan lain (selain daripada kefahaman mereka sendiri),” katanya hari ini.
Justeru Wan Salim berkata, antara langkah pencegahan yang boleh diambil sebelum tahap ketaasuban semakin melarat adalah seperti memberi pendidikan agama yang betul kepada pelajar sekolah dengan menekankan aspek kesederhanaan dalam semua perkara yang dilakukan.
“(Ketaasuban atau kefahaman melampau) perlu dikawal dan dirawat seberapa segera sebelum kesan buruknya yang boleh merosakkan sesuatu komuniti masyarakat dan negara.
“Perlu diakui kejahilan, terutama dalam bab agama adalah faktor terpenting yang mendorong kepada sikap taasub dan ekstrem. Jadi bagi mengatasi perkara itu, kita harus memberikan pendidikan agama yang betul sejak mereka dari alam persekolahan lagi dengan menekankan elemen sentiasa bersikap bersederhana dan wasatiyyah dalam melakukan sesuatu perkara.
“Selain itu, pihak berkaitan perlu sentiasa memantau mana-mana kumpulan (atau individu) termasuk parti politik dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) supaya tidak menyebarkan fahaman ekstremisme yang tidak menghormati pandangan serta tidak boleh bertolak ansur dengan individu yang tidak sependirian dengannya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan seorang lelaki warga Perancis-Algeria mendakwa sebagai warganegara Maghribi dikenali sebagai ‘Mawla Amin’, mengakui mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Walaupun kerajaan Maghribi sudah tampil memberikan penjelasan menafikan lelaki bernama penuh Mohamed Amin Ouradji itu adalah warganegaranya serta tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana keturunan Nabi Muhammad di negara itu, namun masih terdapat segelintir pihak di Malaysia enggan menerima hakikat tersebut malah terus mengagung-agungkannya sehingga kini.
Dalam pada itu, pendakwah Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, beliau terkejut dengan sikap sesetengah rakyat Malaysia yang mudah tertipu dan terpengaruh dengan sesesorang individu sehingga membawa ke tahap terlalu taasub.
“Rakyat Malaysia ini mudah sangat tertipu…macam dulu kita ada kes Ayah Pin. Saya pun hairan kenapa kita taasub kepada seseorang walaupun dia bawa ajaran yang tidak betul.
“Taasub boleh membawa kepada kesesatan dan ini seperti syirik,” katanya yang menasihatkan umat Islam supaya sentiasa berpada-pada serta tidak terlalu ‘mengidolakan’ seseorang.
“Kalau kita taasub kepada kebenaran, tiada masalah tetapi masalahnya disebabkan tiada ilmu, kita mudah sangat percaya dan mempertahankan perkara tidak betul,” katanya. – 5 Mac, 2024