KUALA LUMPUR — Polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang blogger warga Australia, Murray Hunter berkaitan isu melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu (3R).
Bercakap kepada Scoop, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Bukit Aman telah mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan keberadaan blogger berkenaan.
Sekurang kurangnya tiga laporan polis telah dibuat ke atas warga asing tersebut yang sering mengkritik kerajaan persekutuan dan negeri Selangor, dan sejak kebelakangan ini, menyerang institusi diraja.
Mengikut maklumat semasa, kata Razarudin, Murray kini berada di Bangkok, Thailand.
“Kita sudah membuka kertas siasatan berkait isu 3R,” katanya hari ini.
Razarudin menambah, berdasarkan siasatan, blogger itu juga sudah tidak lagi memasuki atau pulang ke Australia.
Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat, tentang orang yang menjadi perhatian.
Pada 31 Januari lalu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengeluarkan kenyataan memandang serius terhadap Murray yang melemparkan tohmahan ke atas Istana berkaitan projek Stadium Shah Alam.

Pusat Komunikasi Korporat UniMAP juga menegaskan bahawa Murray bukan lagi pensyarah universiti berkenaan dan telah ditamatkan perkhidmatan sejak 14 Ogos 2015.
UniMAP menambah ia memandang serius kenyataan Murray yang melibatkan isu agama, kaum dan kedudukan Raja-raja Melayu (3R).
“Sehubungan itu, pihak UniMAP ingin menegaskan bahawa penulis berkenaan yang dikenali sebagai Murray Hunter telah ditamatkan perkhidmatannya sejak 14 Ogos 2015 sebagai pensyarah universiti serta tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan universiti ini,” katanya.
Murray merupakan seorang rakyat Australia tetapi menetap di Hat Yai, Thailand.
Meskipun sudah tidak berkhidmat dengan universiti tersebut, namun blogger terbabit masih menggunakan jawatan sebagai Profesor Madya UniMAP di dalam profail Research Gate. – 2 Mac, 2024