KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor dicadang menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji kaedah meningkatkan ekonomi pasangan muda yang berada dalam tempoh lima tahun perkahwinan.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Mu’izzuddeen Mahyuddin pada Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Ia susulan Selangor berada pada kedudukan tertinggi dalam carta perceraian negeri dan rekod menunjukkan paling ramai pasangan itu bercerai pada umur 30-an, dengan membabitkan golongan muda yang berkahwin dalam tempoh lima tahun.
“Kerajaan negeri boleh mempertimbangkan syor saya (untuk kajian itu) supaya semua pasangan muda berkelayakan yang baru saja berkahwin, diberikan bantuan khusus sewa rumah serta pembelian makanan dan pakaian bagi bayi, selain pakaian anak kecik yang cepat membesar selama tempoh lima tahun mungkin dengan syarat kelayakan tertentu
“Syor saya yang kedua adalah kerajaan negeri melalui exco agama boleh berbincang dengan kementerian agama supaya ditambah kursus berkala selepas perkahwinan, bagi pasangan berkahwin kurang dari lima tahun,” ujarnya .
Beliau berkata, kerajaan juga disyor lebih memperkasakan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) yang mengandungi kursus pra perkahwinan, dengan ditambah kursus selepas perkahwinan dalam tempoh pernikahan kurang dari lima tahun.
“Mungkin kandungan kursus itu boleh dimasukkan kefahaman agama yang dapat membantu memberi pengukuhan agama kepada mereka (pasangan).
“Sesi perkongsian pasangan yang sudah mencapai usia perkahwinan matang juga boleh dimasukkan sebagai modul, bagi berkongsi cabaran hidup yang mereka lalui dan bagaimana mereka menanganinya kepada pasangan muda ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu perceraian membabitkan golongan berkenaan, Mu’izzuddeen berkata, pasangan muda zaman ini berada dalam situasi sangat tertekan dengan kos memulakan hidup yang tinggi.
“Anak muda ini perlu menanggung sewa rumah dan utiliti, kos jagaan anak, lepasan kolej serta universiti pula perlu membayar hutang belajar ditambah lagi dengan kos makan dan pakaian mereka serta anak-anak mereka yang cepat membesar.
“Baru beli baju hari ini, dua bulan depan kena beli baju lagi, selang dua tahun tambah anak, bertambahlah kos hidup anak muda hari ini,” katanya.
Menurutnya, mereka juga terpaksa melakukan dua atau tiga kerja bagi menampung bebanan kos mereka, sehingga menyebabkan masa mereka bersama keluarga amat kurang.
“Semua situasi itu menjadi faktor yang sedikit-sebanyak mendorong kepada kes perceraian di Selangor.
“Kerajaan negeri juga perlu mempercepatkan pembangunan sektor ekonomi berimpak tinggi supaya peluang lebih besar diperoleh anak muda untuk menceburinya, (seterusnya) meningkatkan taraf hidup mereka di negeri ini,” katanya. – 1 Mac, 2024