PUTRAJAYA – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 menjadi permulaan kepada usaha kerajaan untuk menyatukan syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi persaingan di peringkat global.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, usaha itu dapat dicapai sekiranya kedua-dua pihak mewujudkan kerjasama pintar dan tulen untuk membesarkan ‘kek ekonomi’ atau saiz pendapatan negara.
Malah, katanya, kerajaan juga mahu memastikan satu ekosistem ke arah mewujudkan perkongsian pintar yang dibentuk agar kedua-dua pihak, dapat bekerjasama menjadi sebuah syarikat Malaysia serta boleh bertahan dan bersaing sekurang-kurangnya di peringkat serantau.
“Jadi KEB pada kali ini memang dirancang ke arah itu. Saya akan tunggu reaksi. Akan ada (reaksi) yang bersetuju, akan ada yang tak bersetuju. Mereka yang hanya melihat dari perspektif kaum masing-masing sudah tentu akan rasa tak cukup, tapi kita bukan lagi bersaing dalam kalangan kita sahaja sekarang, jadi kita perlu besarkan ‘kek’ ekonomi itu.
“Tapi saya fikir untuk negara, amat penting berbincang dan mencari jalan agar semua pihak bekerjasama kerana Bumiputera dan bukan Bumiputera, memahami bahawa kita adalah sebuah negara dengan 33 juta penduduk. Kita perlu bersaing di peringkat global. Itu tidak mencukupi kalau kita nak bergaduh sesama sendiri, berebut yang kita ada, sesama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada KEB 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, KEB 2024 juga adalah satu permulaan kepada proses untuk memuktamadkan dasar yang akan digunapakai kerajaan berkaitan pemerksaan Bumiputera.
Menurutnya, satu set dasar pemerkasaan Bumiputera hasil aspirasi daripada KEB akan diperkenalkan sekitar Mei atau Jun ini.
“Proses libat urus sudah berlaku yang diketuai wakil bukan kerajaan, selain turut menggabungkan pandangan pihak kerajaan dalam dapatan kongres tersebut.
“Insya-Allah kerajaan akan ambil masa dua, tiga bulan akan datang yang akan menjadi prosiding juga perancangan dan pemantauan di peringkat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dengan timeline (garis masa) Mei atau Jun kita akan ada satu set dasar-dasar Bumiputera yang khusus mengambil aspirasi daripada KEB dan pendekatan hala tuju besar digagaskan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Ujarnya, dasar itu dibangunkan untuk menghasilkan kumpulan kelas Bumiputera yang positif, progresif dan inovatif, sejajar dengan tema KEB 2024. – 29 Februari, 2024