Zahid syor penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera kekal pemilikan tanah peribumi

Langkah itu dapat membantu menjamin mengekalkan pemilikan tanah bumiputera sebagai asas kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan

12:02 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera bagi mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Syor dicadangkan itu antara tiga ikhtiar yang perlu dilaksanakan dalam pemerkasaan bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbadanan itu bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkat dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

“Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri melebihi 20 ekar apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan.

“Malah 20% daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurustadbir melalui perbadanan ini,” katanya ketika berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, penubuhan perbadanan tersebut merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu serta usaha tambahan mengekalkan pemilikan bumiputera.

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

“Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi berterusan,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (tiga, kanan); Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri); Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua, kiri); Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal (tiga, kiri); Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya hari ini. – Abdul Razak Latif/Scoop, 29 Februari, 2024

Pada masa sama, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengemukakan syor untuk mengindustrikan pertanian.

Katanya, ia bertujuan melibatkan bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan berskala besar, selain dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara.

“Saya mengambil contoh kejayaan Felda dan Felcra dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi yang menjadikan negara kita antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.

“Kita sedar sebahagian masyarakat Bumiputera tidak mempunyai tanah begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya.

“Namun, sekiranya tanah-tanah ini dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya setiap pemilik tanah dapat memperolehi manfaat berterusan di samping membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya.

Bagi menjayakannya, Zahid mencadangkan penubuhan sebuah entiti yang dapat memainkan peranan untuk mendanai dan membangunkan tanah Bumiputera atau tanah berkelompok milik Bumiputera yang berpotensi diusahakan dengan tanaman makanan.

“Melalui ikhtiar itu, kita juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi baharu bagi meningkatkan hasil tanaman. Pastinya pengaplikasian teknologi moden dalam pertanian memerlukan kos dan pendanaan tinggi bagi menjayakannya.

“Dengan wujudnya sebuah entiti yang memberi tumpuan khusus kepada sektor ini, usaha pendanaan, kajian dan inovasi dapat dilakukan secara berstruktur untuk meningkatkan pengeluaran hasil,” katanya.

Jelas beliau, pengeluaran hasil berskala besar dan penggunaan teknologi, membolehkan penghasilan kepelbagaian produk hiliran pertanian yang mempunyai nilai tambah dan boleh dipasarkan secara komersial serta membawa keuntungan berganda.

“Saya percaya, melalui pendekatan sama, dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, pengeluaran hasil pertanian makanan dalam negara akan dapat menampung keperluan domestik selaras dengan usaha keterjaminan makanan.

“Malah, kita juga Insya-Allah berupaya menjadi negara pengeksport hasil pertanian sepertimana hasil komoditi kelapa sawit dan getah,” katanya.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani. – 29 Februari 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related