Keluar Dewan Rakyat: Ahli Parlimen pembangkang tidak matang, terlalu emosi

Penganalisis politik berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang hanya menjejaskan reputasi mereka serta tidak membantu dari segi demokrasi

7:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semalam menunjukkan sikap tidak matang, terlalu beremosi dan hanya mengundang persepsi buruk rakyat.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik yang Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Jeniri Amir berkata, kelakuan itu juga menunjukkan mereka ingkar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya semua Ahli Parlimen menjaga adab dan tatatertib.

“Kita perlu wujudkan budaya politik matang dan rasional di Dewan Rakyat kerana segala pelakuan itu akan dinilai oleh pengundi dan rakyat.

“Tindakan sebegini hanya menjejaskan reputasi mereka sebagai Ahli Parlimen, yang tidak membantu dari segi demokrasi, tidak matang dan terlalu mengikut emosi.

Datuk Jeniri Amir berkata, perlu diwujudkan budaya politik matang dan rasional di Dewan Rakyat kerana segala pelakuan itu akan dinilai oleh pengundi dan rakyat – Gambar Fail, 28 Februari, 2024

“Kalau tiap-tiap kali mereka bertindak begitu, nanti apa pula dalam pemikiran rakyat, pasti ada persepsi buruk terhadap mereka,” katanya.

Pada Selasa, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat selepas Speaker, Tan Sri Johari Abdul membenarkan slot diberikan kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka membantahnya kerana menyifatkan perkara itu sebagai tidak pernah berlaku dan tiada dalam aturan mesyuarat.

Susulan itu, Perdana Menteri, membantah keras tindakan pembangkang keluar dewan yang menunjukkan sikap tidak sopan mereka serta tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Inilah masalah dalam negara kita ini, setelah dengar titah Yang di-Pertuan Agong, (tapi) tidak faham, kerana disebabkan oleh dendam kesumat dan cemburu buta sebenarnya,” katanya.

Sementara itu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi hantaran di Facebooknya, turut membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang dan mengingatkan mereka supaya tidak melengah-lengahkan dan mencuri masa dewan dengan perkara remeh.

Rafizi Ramli menerusi hantaran di Facebooknya, turut membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang dan mengingatkan mereka supaya tidak melengah-lengahkan dan mencuri masa dewan dengan perkara remeh – Gambar Scoop, 28 Februari, 2024

Katanya, sepanjang menjadi Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini, beliau tidak pernah mengganggu perbahasan dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat termasuk ketika Tan Sri Annuar Musa (bekas Ahli Parlimen Ketereh) memanggilnya Ahli Parlimen ‘pondan’ dan bukannya Pandan.

“Saya hanya menjawab ‘umur Ketereh tak jauh beza dengan umur ayah saya dan rakyat melihat akhlaknya pada usia itu’.

“Kerana waktu yang ada untuk Ahli Parlimen berucap itu pendek, sekitar lima ke tujuh minit sahaja. Gunakanlah peluang itu untuk menyampaikan perkara yang substantif.

“Lebih-lebih lagi jika (jadi) pembangkang, kerana itu sahajalah peluang untuk kita pamerkan kemampuan kita mentadbir dengan cetusan idea lebih baik daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, malangnya, pembangkang yang ada selalunya ketandusan idea untuk membahaskan perkara yang substantif.

“Akhirnya mereka melengahkan dan mencuri masa dewan dengan perkara remeh-temeh yang berlegar sekitar Standing Order (selalunya atas alasan “mengelirukan dewan”, padahal mereka yang mudah terkeliru).

“Walaupun tugas Speaker Dewan menjadi lebih sukar dan tekanan darah naik sepanjang masa, amalan ‘walk out’ oleh PN ini akan memakan diri, jika tidak berjaya mempamerkan fungsi pembangkang di Parlimen. Lama-lama dari ‘walk out’menjadi ‘walk over’,” tulisnya.

Selain itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan menyifatkan gelagat atau ‘antic’ oleh pembangkang itu tidak kena pada tempatnya.

Profesor Madya Azmi Hassan menyifatkan gelagat atau ‘antic’ oleh pembangkang itu tidak kena pada tempatnya – Gambar Fail, 28 Februari, 2024

“Nak protes boleh tapi kena pada tempatnya, kena pada justifikasinya, jangan sebab remeh dan semata-mata mahu menunjukkan ‘antic’ mereka itu.

“Ini amat mengecewakan kerana Agong sudah menyatakan baginda akan memerhatikan gelagat dan tingkah laku Ahli Parlimen dan menekankan setiap hujah dan perdebatan itu adalah demi kebaikan negara dan rakyat.

“Itu yang diutamakan dan bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik. Apa yang berlaku semalam adalah untuk kepentingan parti politik dan ini amat menyedihkan kerana masih tidak mengambil iktibar titah baginda,” katanya. – 28 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related