Bukan isu tanah tak subur tapi pesawah tak ikut SOP: Izham

Itu punca utama pengurangan hasil padi di kawasan Barat Laut Selangor

5:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kegagalan pesawah yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) penanaman padi menjadi punca utama pengurangan hasil pendapatan di kawasan Barat Laut Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi hasil kajian dilakukan pihaknya dan bukannya disebabkan isu berkaitan tanah tidak subur di kawasan terbabit.

Menurutnya, pemilihan benih padi yang tidak sama ditanam di dalam satu blok tanaman turut menyebabkan tempoh matang dan masa tuai padi menjadi berbeza.

“Dahulu, saya beranggapan bahawa tanah yang tidak subur. Apabila dibuat pemprofilan di semua kawasan Barat Laut, tidak ada isu dari segi keasidan kecuali di kawasan Sabak Bernam yang mempunyai masalah bekalan air yang kronik.

“Tetapi, yang paling besar dan utama yang saya dapati adalah kegagalan petani kita dalam mematuhi SOP penanaman padi itu sendiri. Ini kita telah buat kajian sebenarnya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) berhubung kesukaran petani untuk berkomunikasi dengan pegawai pertanian bagi menyuarakan permasalahan berhubung kekurangan hasil padi.

Mengulas lanjut, Izham berkata, penggunaan jentera penuaian sedia ada turut menyebabkan kehilangan kira-kira 20 peratus hasil padi semasa proses penuaian.
“Jadi, kita merancang untuk beli jentera tuaian baharu yang dapat mengurangkan hingga 10 peratus kehilangan hasil padi, selain batas sawah tidak rosak,” katanya.

Jelas beliau, hasil padi Selangor menunjukkan peningkatan sebanyak 16,853 tan metrik iaitu 88,551 tan metrik dihasilkan pada tahun lepas berbanding 71,688 tan metrik pada 2022.

“Manakala pasaran domestik bagi beras tempatan untuk tahun lepas ialah 48,703 tan metrik atau 55 peratus pengeluaran padi Selangor.

“Selebihnya 38,488 tan metrik dijadikan benih bagi menyumbang kepada keperluan benih padi negara,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) mengenai inisiatif bagi membuka kawasan padi baharu, Izham berkata, kerajaan negeri hanya akan meningkatkan hasil di kawasan sedia ada.

“Penanaman padi kita sebenarnya lebih 19,000 hektar di kawasan Barat Laut Selangor dan (ada tanah) disalah guna untuk penanaman sayur dan sebagainya. Sekarang, kita hanya ada 17,740 hektar.

“Kita juga sudah buat kajian dan sudah putuskan harga dengan memerlukan RM1 bilion bagi menaik taraf sistem saliran dan membina kolam takungan atau tadahan bagi sawah.

“Kita akan bentangkan (mengenainya) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya. – 28 Februari 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related