KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perikatan Nasional (PN) berjaya meyakinkan pelabur asing masuk ke negara ini selepas gabungan itu mengambil alih kerajaan melalui Langkah Sheraton pada 2020.
Menurutnya, ketika itu gabungan tersebut berjaya merekodkan pelaburan sebanyak RM300.94 bilion ketika negara baharu sahaja bangkit daripada pandemik Covid-19.
“Selesai saja Sheraton Move, langkah yang cukup efektif untuk memastikan negara ini maju. Dalam keadaan dunia bukan sahaja Malaysia, pandemik Covid-19 dan cabaran besar tetapi pelabur asing yakin dengan PN.
“Lihat dalam statistik yang saya bentangkan tadi dari segi eksport dan import tertinggi pernah dicatatkan RM1.55 trilion di bawah PN,” katanya menjawab celahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Cheong Kian Young semasa sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Kian Young bertanyakan kepada Adun Hulu Kelang itu apa tindakan yang perlu diambil terhadap ahli politik yang menganggu kestabilan politik di Selangor sehingga menjejaskan keyakinan pelabur asing.
‘Kita tengok siapa pelabur yakinlah. Kalau kami dapat yakinkan pelabur, biarlah kami perintah Selangor ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, angka pelaburan tertinggi yang pernah direkodkan kerajaan PN ketika itu masih belum berjaya dipintas Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Angka itu belum lagi dipecahkan rekod oleh kerajaan campuran ke, Kerajaan Perpaduan ke, wallahu a’lam.
“Sebab kalau dia berpadu, dia dah selesai masalah ahli majlis. Kalau dia Bersatu dah selesai masalah ketua kampung. (Tapi) Tak selesai 3 bulan, maknanya belum ada perpaduan yang jujur dalam kerajaan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan Selangor mengalihkan fokus dan mengurangkan kebergantungan kepada sesebuah ekonomi sahaja.
Katanya, kerajaan Selangor perlu meneroka pasaran baharu dalam kalangan kuasa baru ekonomi iaitu India, Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Filipina.
“Saya juga tak mahu Selangor bergantung pada hasil tanah. Kebergantungan kepada hasil tanah dan cukai tanah dan geran Persektuuan tidak mampan kerana banyak tanah di Selangor sampai ke tahap tepu dari segi pembangunan.
“Ambil tindakan progresif dan agresif. Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), 70 peratus pendapatan Selangor masih bergantung kepada tanah, 10 peratus dari geran diterima daripada Persekutuan,” katanya.
Justeru, katanya, kejayaan membawa pelabur ke Selangor bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pelaburan tetapi pelaksanaan projek yang sudah diluluskan.
“Pagi tadi apabila Datuk Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) menyebut jumlah pelaburan yang diluluskan di peringkat negara RM329. 5 bilion ada pihak yang terlalu gembira.
“Tapi diingatkan jangan terlalu riuh… menyambut terlalu awal kerana yang penting bukan soal jumlah tetapi soal pelaksanaan projek yang telah diluluskan,” katanya.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan penyelesaian projek tertinggi pada kadar 99.6 peratus.
Katanya, peratusan itu diperoleh hasil daripada laporan pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ini adalah pencapaian baik oleh pihak kerajaan negeri dan mengekalkan momentum tersebut dengan mengurangkan beberapa aspek-aspek seperti ketirisan, lambat siap atau pun lambat tugas termasuk pemilihan kontraktor bagi projek-projek ekonomi yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya. – 28 Februari, 2024